Monday, October 19, 2009

Kerajaan sasar 1 doktor untuk 600 penduduk

KUALA LUMPUR: Kerajaan mensasarkan untuk mencapai nisbah seorang doktor berkhidmat kepada 600 penduduk sebelum tahun 2020, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata, kini nisbahnya ialah seorang doktor berkhidmat kepada 1,145 orang penduduk dan keadaan itu masih agak baik.

"Kalau tengok nisbah populasi doktor di negara kita, masih baik," katanya ketika menjawab soalan tambahan Saifuddin Nasution Ismail (PKR-Machang) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Liow berkata, kerajaan sedar akan masalah kekurangan pegawai dan kakitangan perubatan di negara ini dan telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menangani masalah tersebut.

"Salah satu masalah yang dihadapi ialah pengaliran keluar doktor terlatih dalam kerajaan iaitu setiap tahun kira-kira 200 hingga 400 doktor akan keluar daripada perkhidmatan kerajaan ke hospital swasta.

"Sekarang, kementerian sedang berusaha melihat bagaimana untuk kita hendak pastikan menggembleng tenaga semua sektor termasuk swasta dan kerajaan bekerjasama sebagai satu pasukan untuk memberi perkhidmatan kesihatan terbaik kepada negara," katanya. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment