Thursday, April 15, 2010

24 Pelajar SBPI Kuantan Alami Simptom A(H1N1) Dikuarantin

PELAJAR memakai topeng mulut sebagai langkah pencegahan penularan wabak Influenza H1N1 di Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara, hari ini.

KUANTAN, 15 April (Bernama) -- Seramai 24 pelajar Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Kuantan, di sini mengalami demam dan selsema menyamai simptom jangkitan Influenza A(H1N1).

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Kesihatan Pahang, Datuk Hoh Khai Mun berkata, kesemua pelajar terbabit kini dikuarantin di dalam bilik asrama sekolah itu.

"Kesemua mereka juga telah diberikan rawatan antiviral sebagai langkah pencegahan awal," katanya ketika dihubungi di sini, pada Khamis.

Selain itu katanya, sampel darah pelajar terbabit turut diambil untuk ujian makmal di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.

Justeru itu, beliau menasihatkan ibu bapa pelajar sekolah tersebut agar tidak panik kerana keadaan di sekolah berkenaan masih terkawal ekoran pemantauan rapi oleh pihak Jabatan Kesihatan. -- BERNAMA

Wednesday, April 14, 2010

Mangsa terbaru H1N1



PUTRAJAYA - Satu lagi kematian akibat virus Influenza A (H1N1) dicatatkan di negara ini, melibatkan seorang peguam lelaki berusia 42 tahun dari Johor Bahru, kelmarin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican berkata, lelaki terbabit meninggal dunia ketika dirawat di hospital swasta Johor Bahru.

Beliau berkata, kematian terbaru itu adalah yang pertama tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang meninggal dunia akibat virus itu meningkat kepada 78 orang, sejak wabak itu dikesan tahun lalu.

“Ujian makmal mengesahkan lelaki itu dijangkiti H1N1. Beliau yang mempunyai faktor risiko obes turut mengalami komplikasi lain termasuk kegagalan ginjal akut dan jangkitan kuman.

“Keadaan beliau yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan menjadi semakin tenat dan beliau meninggal dunia kelmarin disebabkan oleh pneumonia H1N1 dengan ‘Acute Respiratory Distress Syndrome,” katanya kepada media selepas mesyuarat teknikal wabak H1N1 di sini, semalam.

Dr Ismail berkata, dua kematian melibatkan seorang ibu dan anaknya yang baru melahirkan anak kedua di Hospital Melaka, 31 Mac dan 2 April lalu, bukan disebabkan jangkitan virus H1N1.

“Dua (yang sebelum ini dilaporkan akibat jangkitan H1N1) daripada tiga kematian tahun ini bukan mempunyai kaitan secara langsung dengan H1N1 tetapi yang terbaru (kelmarin) berkaitan dengan H1N1,” katanya.       

Dr Ismail, menjelaskan daripada pemantauan berterusan, belum ada tanda virus H1N1 yang sedang menular ketika ini, mempunyai ciri-ciri berbeza daripada virus sebelum ini, yang menyebabkan gelombang kedua yang lebih serius.

“Langkah-langkah pencegahan yang disarankan dengan ubat anti viral seharusnya berkesan bagi mengekang penularan jangkitan itu,” katanya.

Sementara itu, Dr Ismail berkata, sehingga jam 5.30 petang kelmarin, jumlah terkumpul kes ILI yang masih dirawat dalam wad seluruh negara adalah 678 kes. - Sinar Harian

Tuesday, April 13, 2010

57 kes positif H1N1 di Pahang

KUANTAN 12 April - Sebanyak 57 kes positif virus Influenza A (H1N1) dilaporkan di Pahang sejak 1 Januari lalu hingga hari ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Kesihatan negeri, Datuk Hoh Khai Mun.

Menurut beliau, daripada jumlah itu, Pekan mencatatkan kes tertinggi iaitu 24 kes diikuti Kuantan sebanyak 10 kes, Rompin dan Raub masing-masing lapan kes manakala Lipis dan Maran masing-masing enam dan satu kes.

Bagaimanapun katanya, keadaan wabak H1N1 di negeri ini masih lagi terkawal dan tiada pesakit dilaporkan kritikal atau perlu dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).

"Namun, kami masih berada dalam keadaan berjaga-jaga bagi mengelak sebarang keadaan tidak diingini berlaku," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Khai Mun memberitahu, Kementerian Kesihatan memperuntukkan sebanyak 24,000 suntikan vaksin kepada hospital-hospital kerajaan di negeri ini.

"Suntikan itu akan diberikan kepada mereka yang mudah terdedah kepada jangkitan virus itu seperti bomba, polis, veterinar, imigresen dan orang awam.

"Suntikan ini akan melindungi mereka daripada jangkitan virus pembunuh itu selama setahun dan orang ramai boleh mendapatkannya secara percuma di setiap hospital kerajaan," jelasnya.

Tambahnya, seramai 4,866 orang telah diberikan suntikan dan bekalan itu mencukupi kepada lebih 14,000 orang lagi.

Selain itu katanya, sebanyak 17,872 poster dan 673 risalah berkaitan H1N1 telah diedarkan sejak tahun lalu kepada orang ramai untuk memberikan kesedaran kepada mereka supaya lebih berhati-hati.

"Saya menasihati orang awam supaya menjaga kebersihan diri dengan sentiasa memakai bahan pencuci tangan selain kerap mandi supaya badan tidak mudah dijangkiti virus ini," katanya. - Utusan