Saturday, January 23, 2010

Kesihatan isytihar kempen habis-habisan hapus denggi


PULAU PINANG, 23 Jan (Bernama) -- Kementerian Kesihatan mengisytiharkan kempen habis-habisan menghapus denggi selepas mencatat 11 kematian dan 2,713 kes tahun ini.

Menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata jumlah kematian akibat demam denggi meningkat minggu ini khususnya di Selangor.

"Demam denggi dalam negara meningkat dan jumlah ini merupakan petunjuk yang harus mengejutkan setiap orang bertindak oleh kerana dari 17 Jan hingga 21 Jan, kita mencatatkan 776 kes denggi dengan enam kematian," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Teknologi kesegaran sauna, "Freshural Korean Sauna Technology" di sini hari Sabtu.

Beliau berkata walaupun terdapat penurunan jumlah kes denggi berbanding tahun lepas dalam tempoh yang sama iaitu 4,213 kes tetapi jumlah kematian bagi kedua-dua tahun adalah sama iaitu 11.

Katanya, pada 2009 jumlah kes yang direkodkan ialah 4,100 dengan 88 kematian sementara pada tahun sebelumnya 4,900 kes dengan 112 kematian.

Bagaimanapun, Liow berkata Pulau Pinang belum mencatat sebarang kematian akibat demam denggi tetapi jumlah kes penyakit itu telah mencecah 85 tahun ini. -- BERNAMA

Cat Mesra Alam, Rendah Bau, Baik Untuk Kesihatan

Oleh Rohana Mustaffa

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Bagi mereka yang gemar menghidu bau dinding baru disapu cat, mereka tidak menyedari aroma yang agak 'mengasyikkan' ini ialah wap cat yang sebenarnya antara bahan alergi yang biasa didapati di rumah selain hama debu, bulu binatang peliharaan dan kulat.

Walaupun sapuan cat baru cara paling mudah memberikan kesegaran pada suasana bilik, wap atau gas dikeluarkan dari dinding yang baru disapu cat, sebenarnya membawa risiko kepada kesihatan.

Memang ada yang rasa teruja bila berada di dalam bilik yang baru menerima sapuan lapisan cat. Tetapi bagi yang lain termasuk mereka yang melakukan kerja mengecat itu sendiri, boleh mengalami pedih mata, sakit kepala selain semput nafas.

Kajian menunjukkan pendedahan berlebihan terhadap 'wap' yang dihasilkan dari cat boleh menyebabkan iritasi mata dan juga masalah pernafasan. Ada juga laporan tentang risiko keguguran yang lebih tinggi, peningkatan risiko asma kanak-kanak serta reaksi alergi. Pendedahan pada jangka masa lama juga dikaitkan dengan penyakit hati dan buah pinggang.

Oleh itu, wap dari cat adalah tidak sihat! Sehinggakan Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat dilapor menetapkan bahawa cat ialah antara lima 'bahaya' bagi alam sekitar.

BAHAN ORGANIK MUDAH RUAP

Cat mengandungi banyak wap sebatian organik (VOC) yang boleh memberi reaksi alergi kepada manusia. Bahkan semakin 'lebih seri' warna sesuatu cat bermakna lagi banyak kandungan VOC di dalamnya.

Bagi cat minyak pula, ia mengandungi lebih banyak VOC jika dibandingkan dengan cat berasaskan air atau lateks.

Bila lapisan cat mengering, ia akan menghasilkan evaporasi VOC yang kemudiannya meresapi udara serta bertukar menjadi bahan 'pencemar'.

Vapor atau wap dari cat serta bahan kimia yang lain memberi risiko kesihatan bagi kanak-kanak, orang tua dan juga mereka yang mempunyai ketahanan imun badan yang rendah.

Jadi bagaimana kita lindungi mereka dalam kumpulan ini daripada bau, wap serta gas yang dihasilkan cat bila memberi lapisan cat baru kepada dinding rumah?

Jawapannya ialah cat 'sifar VOC' atau yang mempunyai kandungan VOC rendah yang dikeluarkan sebagai alternatif kepada konsumer yang peka terhadap kesihatan.

CAT VOC RENDAH

Menurut Soo Fee Wah, Pengarah Urusan Mr Paint Man Sdn Bhd, syarikat itu menawarkan cat yang mesra alam serta VOC rendah bagi memastikan bahan kimia yang membahayakan kesihatan bukannya lagi satu masalah.

Sebagai mengukuhkan komitmen terhadap keselamatan serta kepuasan pengguna, syarikat itu menghantar cat keluarannya ke sebuah makmal di negara jiran yang terkemuka dalam bidang penilaian produk bersepadu dan komprehensif, perkhidmatan pemeriksaan dan persijilan.

"Kami dengan sukacitanya mengumumkan bahawa hasil ujian mengesahkan cat keluaran kami adalah rendah VOC, kurang wap, serta rendah bau selain bebas daripada bahan kimia yang berbahaya," kata beliau.

Produk Mr Paint Man juga menepati standard piawaian alam sekitar SIRIM.

Baru-baru ini Soo memperkenal logo mesra alam Mr Paint Man iaitu 'Ecofren'. Logo itu akan tampil bersama maskot Mr Paint Man bagi semua cat berasaskan air keluaran syarikat itu.

JAMINAN KEPADA PENGGUNA

"Ia merupakan satu tanda jaminan bagi pengguna bahawa produk kami telah melepasi ujian yang ditetapkan dan tiada kandungan berbahaya yang ditemui. Pengiktirafan ini memperakui ciri profail pemuliharaan alam sekitar dan keselamatan kami," kata Soo.

Menurut Soo, pengguna harus berwaspada terhadap sesetengah cat yang mengandungi bahan berbahaya terhadap kesihatan seperti formaldehid dan kadmium.

Formaldehid boleh mendatangkan iritasi atau keradangan mata dan selaput mukus, di samping mencetuskan simptom asma, manakala kadmium dikaitkan dengan perapuhan tulang dan kegagalan fungsi buah pinggang. Kadmium juga merupakan satu daripada enam bahan yang diklasifikasikan sebagai bahan larangan oleh Kesatuan Eropah (EU) untuk Bahan Berbahaya.

Soo melahirkan keyakinan bahawa produk Mr Paint Man, dengan status mesra alam serta kebaikan Teknologi UBAK Jepun, akan menjadikan cat itu pilihan bagi mereka yang mahu memberikan rumah mereka lapisan cat yang baru.

Teknologi itu, hasil kerjasama dengan Kansai Paints dari Jepun iaitu antara syarikat yang terulung dalam bidang industri cat, telah memberi tahap kelegapan atau paras penutupan yang baik, sapuan cat yang lebih halus dan sempurna pada permukaan yang dicat.

"Tahap kelegapan tinggi merujuk kepada keupayaan cat menyembunyikan warna lama dinding tanpa apa-apa bayangan terhadap lapisan lama. Ini penting kerana cat yang rendah legap bermakna lebih banyak lapisan cat terpaksa digunakan dan ini memakan lebih banyak tenaga, masa dan kos," jelas Soo.

Produk Mr Paint Man terdiri daripada cat bagi kegunaan luaran serta dalaman.

Disesuaikan dengan keadaan cuaca tropika Malaysia, syarikat itu yakin jenama ini semakin menjadi pilihan bagi mereka dalam industri cat. -- BERNAMA

Thursday, January 21, 2010

Klinik 1Malaysia Mendapat Sambutan Luar Dugaan Di Sebalik Kesangsian Awal


Oleh S.Retnanathan

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Klinik 1Malaysia yang dilancarkan kira-kira tiga minggu lepas telah mendapat sambutan di luar dugaan daripada rakyat.

Ini di sebalik kesangsian awal oleh pihak tertentu mengenai kejayaan klinik itu yang hanya mengenakan bayaran RM1 sahaja dan dikendalikan oleh pembantu hospital (HA).

Kajian Bernama baru-baru ini mendapati walaupun golongan profesional khususnya di kalangan pengamal perubatan memberikan respons acuh tak acuh kepada klinik itu, namun rakyat memberikan sokongan padu.

Kebimbangan golongan pengamal perubatan itu berdasarkan keputusan kerajaan untuk membenarkan HA memberikan ubat bagi sakit yang ringan, menurut mereka akan menjejaskan doktor swasta dan merisikokan standard penjagaan kesihatan negara.

Namun semua itu tidak menghalang orang ramai daripada berduyun-duyun mengunjungi klinik 1Malaysia untuk mendapatkan rawatan bagi sakit yang ringan seperti demam, batuk dan menjalani pemeriksaan darah dan tahap kandungan gula.

Mengulas mengenai permulaan yang memberangsangkan itu, pengerusi lembaga pemegang amanah Yayasan 1Malaysia, Dr Chandra Muzaffar seperti dipetik dalam laman web yayasan itu, berkata oleh kerana klinik itu memberikan khidmat kepada semua orang tanpa mengira kaum, peranan mereka dapat membantu, secara tidak langsung, untuk memperkukuhkan lagi idea bahawa keperluan semua rakyat Malaysia dijaga secara adil dan saksama.

"Sehingga ke tahap yang memungkinkan, klinik 1Malaysia wajar ditempatkan di kawasan yang dihuni penduduk pelbagai kaum. Kakitangan paramedik klinik itu juga, jika boleh, daripada latar belakang etnik yang berbeza," katanya.

Katanya oleh kerana klinik 1Malaysia menyasarkan secara langsung persoalan mengenai keadilan sosial dan secara tidak langsung menangani kerumitan cabaran integrasi etnik, tiada sebab kenapa doktor tidak menawarkan diri secara sukaraela untuk terlibat dalam inisiatif berasaskan komuniti itu.

Tidak seperti tanggapan orang ramai, klinik 1Malaysia bukan hanya dikendalikan oleh HA sahaja, kerana Kementerian Kesihatan telah menyenaraikan sekumpulan doktor, untuk memeriksa pesakit yang memerlukan perhatian segera.

Setakat ini, 44 daripada 50 klinik 1Malaysia yang dikenal pasti bagi fasa pertama program itu telah beroperasi.

Selain murah, beberapa faktor lain turut menjadikan klinik 1Malaysia mendapat perhatian orang ramai seperti perkhidmatan yang cepat dan waktu operasi lebih panjang. Ia dibuka tujuh hari seminggu dari 10 pagi hingga 10 malam.

Mempertahankan penubuhan klinik itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Ismail Merican baru-baru ini berkata penubuhan klinik 1Malaysia bukan dibuat secara tergesa-gesa dan ia bukannya langkah yang mundur.

"Saya ingin menjelaskan mengenai klinik 1Malaysia bertujuan memberikan jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa dengan penubuhan klinik ini di kawasan bandar, kami berharap untuk memenuhi keperluan rakyat daripada segi kesihatan," katanya.

Pegawai kanan kerajaan itu yang telah mengendalikan beberapa kejadian wabak seperti wabak selesema H1N1 di negara ini, telah terbukti betul kerana golongan yang mendapat faedah daripada klinik berkenaan sebenarnya ialah golongan miskin bandar.

Langkah proaktif itu bagi menangani keperluan kesihatan yang semakin meningkat di kalangan miskin bandar dalam membantu mengurangkan penderitaan mereka yang memerlukan perhatian segera bagi sakit yang ringan.

Beliau berkata para paramedik yang mengendalikan klinik berkenaan merupakan pegawai berpengalaman yang tahu batasan mereka dan berupaya mengesan keadaan klinikal jika perlu segera dirujuk kepada doktor.

Selain itu, doktor akan dipertanggungjawabkan dalam memastikan rawatan yang diberikan oleh paramedik adalah betul dan mengikut garis panduan dan prosedur dan memenuhi standard Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan itu juga menyatakan bidang tugas ketua jururawat dan HA seperti ditetapkan dalam Akta Perubatan 1971 membenarkan mereka menjalankan prosedur surgeri kecil dengan menggunakaan alat surgeri spesifik.

"Peranan mereka di klinik berkenaan adalah dalam skop bidang tugas mereka di hospital dan klinik. Mereka tidak akan diminta melakukan tugas lebih daripada apa yang mereka telah dilatih dan akan mematuhi garis panduan dan jenis perkhidmatan yang boleh ditawarkan pada setiap masa.

"Dengan penubuhan klinik ini, seseorang itu tidak perlu membawa anggota keluarga yang berusia lanjut ke klinik besar atau hospital untuk menukar kateter tiub pundi kencing atau membalut luka akibat kecederaan di rumah, sekolah dan di tempat kerja," katanya.

Katanya kerajaan tidak berniat untuk menjejaskan perniagaan doktor swasta namun pada masa yang sama "kami mencadangkan kerajaan memperkenalkan sistem penjagaan kesihatan bersepadu supaya rakyat boleh mendapatkan rawatan daripada doktor kerajaan dan swasta.

"Kami berharap dapat memperkenalkan konsep "doktor keluarga" dan telah mengambil langkah untuk menggalakkan doktor kami menjadi "pemantau" yang efektif. Sementara menunggu langkah ini direalisasikan, kami perlu menangani keperluan kesihatan golongan miskin bandar, dan dengan penubuhan klinik 1Malaysia, hanya 50 buah di seluruh negara (tiga atau empat buah di setiap negeri) tidak akan menjejaskan pendapatan doktor kami," kata Dr Ismail.

Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia Mohd Yusof Abdul Rahman berpendapat klinik 1Malaysia amat wajar bagi tujuan penjagaan kesihatan golongan miskin bandar.

"Tidak apa jika hanya pembantu perubatan bertugas di klinik ini kerana mereka tidak mengendalikan kes kronik yang memerlukan pakar. Ini hanya bagi masalah kesihatan yang ringan," katanya. -- BERNAMA

355 pesakit baru gejala serupa ILI dikesan


KUALA LUMPUR - Seramai 355 pesakit baru dengan gejala serupa Influenza (ILI) dimasukkan ke hospital sepanjang tempoh 10 hingga 16 Januari lalu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Beliau berkata, dalam tempoh yang sama juga 339 kes telah discaj keluar.

“Jumlah kes ILI yang masih dirawat di seluruh negara sehingga Sabtu lalu, sebanyak 341 kes di 43 hospital kerajaan.

“Daripada jumlah tersebut hanya 25 pesakit atau 7.3 peratus merupakan kes Influenza A (H1N1) yang disahkan melalui ujian makmal,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, terdapat lima kes H1N1 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi dengan empat daripadanya mempunyai faktor risiko manakala seorang tiada faktor risiko.

”Sehingga 16 Januari lalu, jumlah terkumpul kes positif Influenza A (H1N1) adalah 12,356 dan jumlah kematian terkumpul kekal 77 orang,” katanya.

Beliau berkata, satu kejadian kluster ILI dilaporkan berlaku di Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Geokosmo Sungai Selisek, Hulu Selangor pada 16 Januari lalu, bagaimanapun kedua-dua sampel yang diambil adalah negatif untuk Influenza A. :

Dr Mohd Ismail turut mengingatkan pelatih-pelatih dan pihak berkuasa di kem PLKN agar terus mengamalkan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan H1N1.

Dalam satu kenyataan berlainan, Dr Mohd Ismail berkata, ujian terhadap sekumpulan pekerja sebuah kilang di Bandar Baru Bangi, Selangor yang mengalami gejala demam, batuk dan selsema sejak Jumaat lalu menunjukkan yang mereka hanya mengalami demam selsema biasa akibat jangkitan virus Influenza bermusim.:

”Walaupun 11 daripada 45 orang yang mengalami gejala itu pada awalnya diuji positif terhadap Influenza A, namun ujian pengesahan Influenza A (H1N1) di sebuah makmal rujukan menunjukkan kesemuanya negatif,” katanya. - Sinar Harian

Sunday, January 17, 2010

Kes denggi Johor catat penurunan

MUAR: Kes denggi di Johor mencatatkan penurunan 35.4 peratus sepanjang tahun lalu dengan hanya 2,528 kes berbanding 3,911 kes pada 2008.
“Penurunan kes ini hasil usaha keras Jabatan Kesihatan Johor serta usaha sama pelbagai pihak memeranginya sepanjang tahun lalu.

“Kami memeriksa 494,584 premis dan 7,438 premis daripadanya didapati positif ada pembiakan nyamuk aedes. Sehubungan itu, sebanyak 3,383 kompaun bernilai RM519,150 dikenakan terhadap premis yang didapati positif pembiakan aedes,” katanya. - Harian Metro