Skip to main content

Cat Mesra Alam, Rendah Bau, Baik Untuk Kesihatan

Oleh Rohana Mustaffa

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Bagi mereka yang gemar menghidu bau dinding baru disapu cat, mereka tidak menyedari aroma yang agak 'mengasyikkan' ini ialah wap cat yang sebenarnya antara bahan alergi yang biasa didapati di rumah selain hama debu, bulu binatang peliharaan dan kulat.

Walaupun sapuan cat baru cara paling mudah memberikan kesegaran pada suasana bilik, wap atau gas dikeluarkan dari dinding yang baru disapu cat, sebenarnya membawa risiko kepada kesihatan.

Memang ada yang rasa teruja bila berada di dalam bilik yang baru menerima sapuan lapisan cat. Tetapi bagi yang lain termasuk mereka yang melakukan kerja mengecat itu sendiri, boleh mengalami pedih mata, sakit kepala selain semput nafas.

Kajian menunjukkan pendedahan berlebihan terhadap 'wap' yang dihasilkan dari cat boleh menyebabkan iritasi mata dan juga masalah pernafasan. Ada juga laporan tentang risiko keguguran yang lebih tinggi, peningkatan risiko asma kanak-kanak serta reaksi alergi. Pendedahan pada jangka masa lama juga dikaitkan dengan penyakit hati dan buah pinggang.

Oleh itu, wap dari cat adalah tidak sihat! Sehinggakan Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat dilapor menetapkan bahawa cat ialah antara lima 'bahaya' bagi alam sekitar.

BAHAN ORGANIK MUDAH RUAP

Cat mengandungi banyak wap sebatian organik (VOC) yang boleh memberi reaksi alergi kepada manusia. Bahkan semakin 'lebih seri' warna sesuatu cat bermakna lagi banyak kandungan VOC di dalamnya.

Bagi cat minyak pula, ia mengandungi lebih banyak VOC jika dibandingkan dengan cat berasaskan air atau lateks.

Bila lapisan cat mengering, ia akan menghasilkan evaporasi VOC yang kemudiannya meresapi udara serta bertukar menjadi bahan 'pencemar'.

Vapor atau wap dari cat serta bahan kimia yang lain memberi risiko kesihatan bagi kanak-kanak, orang tua dan juga mereka yang mempunyai ketahanan imun badan yang rendah.

Jadi bagaimana kita lindungi mereka dalam kumpulan ini daripada bau, wap serta gas yang dihasilkan cat bila memberi lapisan cat baru kepada dinding rumah?

Jawapannya ialah cat 'sifar VOC' atau yang mempunyai kandungan VOC rendah yang dikeluarkan sebagai alternatif kepada konsumer yang peka terhadap kesihatan.

CAT VOC RENDAH

Menurut Soo Fee Wah, Pengarah Urusan Mr Paint Man Sdn Bhd, syarikat itu menawarkan cat yang mesra alam serta VOC rendah bagi memastikan bahan kimia yang membahayakan kesihatan bukannya lagi satu masalah.

Sebagai mengukuhkan komitmen terhadap keselamatan serta kepuasan pengguna, syarikat itu menghantar cat keluarannya ke sebuah makmal di negara jiran yang terkemuka dalam bidang penilaian produk bersepadu dan komprehensif, perkhidmatan pemeriksaan dan persijilan.

"Kami dengan sukacitanya mengumumkan bahawa hasil ujian mengesahkan cat keluaran kami adalah rendah VOC, kurang wap, serta rendah bau selain bebas daripada bahan kimia yang berbahaya," kata beliau.

Produk Mr Paint Man juga menepati standard piawaian alam sekitar SIRIM.

Baru-baru ini Soo memperkenal logo mesra alam Mr Paint Man iaitu 'Ecofren'. Logo itu akan tampil bersama maskot Mr Paint Man bagi semua cat berasaskan air keluaran syarikat itu.

JAMINAN KEPADA PENGGUNA

"Ia merupakan satu tanda jaminan bagi pengguna bahawa produk kami telah melepasi ujian yang ditetapkan dan tiada kandungan berbahaya yang ditemui. Pengiktirafan ini memperakui ciri profail pemuliharaan alam sekitar dan keselamatan kami," kata Soo.

Menurut Soo, pengguna harus berwaspada terhadap sesetengah cat yang mengandungi bahan berbahaya terhadap kesihatan seperti formaldehid dan kadmium.

Formaldehid boleh mendatangkan iritasi atau keradangan mata dan selaput mukus, di samping mencetuskan simptom asma, manakala kadmium dikaitkan dengan perapuhan tulang dan kegagalan fungsi buah pinggang. Kadmium juga merupakan satu daripada enam bahan yang diklasifikasikan sebagai bahan larangan oleh Kesatuan Eropah (EU) untuk Bahan Berbahaya.

Soo melahirkan keyakinan bahawa produk Mr Paint Man, dengan status mesra alam serta kebaikan Teknologi UBAK Jepun, akan menjadikan cat itu pilihan bagi mereka yang mahu memberikan rumah mereka lapisan cat yang baru.

Teknologi itu, hasil kerjasama dengan Kansai Paints dari Jepun iaitu antara syarikat yang terulung dalam bidang industri cat, telah memberi tahap kelegapan atau paras penutupan yang baik, sapuan cat yang lebih halus dan sempurna pada permukaan yang dicat.

"Tahap kelegapan tinggi merujuk kepada keupayaan cat menyembunyikan warna lama dinding tanpa apa-apa bayangan terhadap lapisan lama. Ini penting kerana cat yang rendah legap bermakna lebih banyak lapisan cat terpaksa digunakan dan ini memakan lebih banyak tenaga, masa dan kos," jelas Soo.

Produk Mr Paint Man terdiri daripada cat bagi kegunaan luaran serta dalaman.

Disesuaikan dengan keadaan cuaca tropika Malaysia, syarikat itu yakin jenama ini semakin menjadi pilihan bagi mereka dalam industri cat. -- BERNAMA

Comments

Popular posts from this blog

Risiko ikat peranakan

KEADAAN mengikat peranakan (dari kiri) dilecuhkan, ikat, potong dan klip. Peluang wanita hamil semula amat tipis biarpun jalani prosedur buka semula salur fallopian dan IVF APAKAH pilihan yang ada sekiranya selepas mengikat salur peranakan secara Bilateral Tubal Ligation (BTL), anda mengubah fikiran untuk hamil semula? Pertama melakukan prosedur Reversal of Tubal Ligation (RTL) iaitu membuka semula tiub fallopian yang diikat atau teknik Permanian Berhadas yang lebih dikenali sebagai In-Vitro Fertilization (IVF). Apapun pilihan anda, dilemanya tetap ada. Pelbagai faktor harus diambil kira termasuk emosi, mental, fizikal, peratusan kejayaan kedua-dua teknik ini yang masih rendah selain kosnya yang agak tinggi. Isu berkaitan zuriat memang cukup menyentuh emosi kerana zuriat bukan saja mampu mengukuhkan ikatan perkahwinan malah berkemungkinan menjadi penyebab keruntuhan rumah tangga. Pakar Perunding Obstetrik, Ginekologi dan Perubatan Reproduktif, Pusat Perubatan Darul Ehsa...

Hidung berdarah

Oleh Hafizah Iszahanid Masalah kerap berlaku ketika cuaca panas akibat alahan atau disebabkan sinus HIDUNG berdarah adalah masalah yang biasa dan kerap ditemui khususnya ketika cuaca kering seperti yang berlaku sekarang. Bagaimanapun, ia turut berkait rapat dengan sifat hidung itu sendiri yang memiliki banyak salur darah kecil yang menyebabkannya mudah berdarah. Udara yang keluar masuk dari dan melalui hidung pula berpotensi mengeringkan atau menjejaskan membran dalam hidung yang menyebabkannya berkeruping. Keruping ini boleh berdarah apabila digosok atau ditarik. Hidung berdarah disebabkan salur darah kecil pecah. Ada dua jenis pendarahan pada hidung, pendarahan di bahagian atas hidung atau bahagian bawah hidung. Kedudukan hidung juga mendedahkannya kepada trauma jika berlaku kecederaan pada wajah. Walaupun ada kala pendarahan itu sedikit atau hanya komplikasi kecil ada juga kes hidung berdarah sebenarnya simptom kepada masalah kesihatan lain. Pakar...