Saturday, March 20, 2010

Selangor Terus Catat Kes Denggi Tertinggi

SHAH ALAM, 20 Mac (Bernama) -- Selangor terus mencatatkan jumlah kes demam denggi tertinggi iaitu sebanyak 5,137 kes sejak awal tahun ini hingga semalam, dengan 20 peratus ataupun 1,009 daripadanya berlaku di sini.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata dalam tempoh tersebut, Seksyen 7 di sini melaporkan sebanyak 171 kes demam denggi berbanding 92 kes dalam tempoh yang sama tahun lepas, peningkatan kes sebanyak 185 peratus.

"Setakat ini, terdapat 34 kawasan panas denggi di Selangor dan Seksyen 7, Shah Alam adalah salah satu lokasi kawasan berkenaan. Kawasan Seksyen 7 mengalami wabak denggi selama 52 hari," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen 'Aedes Pupus Denggi Lupus' di sini.

Rosnah berkata kawasan panas dikategorikan sebagai kawasan yang mengalami wabak denggi melebihi tempoh sebulan.

Beliau juga berkata kadar pembiakan nyamuk aedes di Seksyen 7 masih tinggi iaitu melibatkan antara 3.9 peratus hingga 33 peratus.

Rosnah juga berkata daripada sejumlah 3.5 juta premis yang diperiksa sepanjang tahun lepas, 46,848 premis dikenalpasti sebagai kawasan pembiakan nyamuk Aedes.

Beliau juga berkata sebanyak 11,113 kes demam denggi melibatkan 40 kematian dilaporkan di seluruh negara sejak awal tahun ini hingga semalam, berbanding 11,904 kes dalam tempoh yang sama tahun lepas. -- BERNAMA

1 comment:

  1. memang amat membimbangkan akan kenaikan kes denggi di negara kita,sikap masyarakat amat penting dlm membasmi denggi.

    ReplyDelete