Sunday, April 25, 2010

H1N1: Satu Lagi Kes Kematian Dicatatkan

PUTRAJAYA, 24 April (Bernama) -- Satu lagi kematian disebabkan jangkitan influenza A (H1N1) dilaporkan Kementerian Kesihatan hari ini, membabitkan seorang lelaki berusia 55 tahun.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Mohd Ismail Merican berkata lelaki itu dimasukkan ke sebuah hospital swasta pada 18 April lepas setelah mengalami masalah pernafasan dan disahkan meninggal dunia pada Rabu lepas.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan masyarakat bahawa penularan jangkitan influenza H1N1 masih aktif di dalam komuniti dan masyarakat perlu sentiasa mengamalkan langkah-langkah pencegahan.

Sementara bagi kes kluster penyakit serupa influenza (ILI), sehingga 8 pagi ini sebanyak tujuh kes dilaporkan iaitu tiga kes di Selangor, Johor (dua kes), Terengganu (1 kes) dan Melaka (1 kes), katanya dalam kenyataan.

Di Selangor, masing-masing satu kes dilaporkan di Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Setia Ikhlas Semenyih, Farmasi Satelit Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang dan kediaman persendirian di Kampung Pinang, Pelabuhan Klang.

Di Johor, masing-masing satu kes dilaporkan di Sekolah Menengah Tun Hussein Onn Kluang dan Kem Tentera Mahkota di daerah itu manakala masing-masing satu kes di Sekolah Menengah Kebangsaan Jasin, Melaka dan Sekolah Kebangsaan Kijal, Kemaman, Terengganu. -- BERNAMA

Bookmark and Share

No comments:

Post a Comment