Skip to main content

H1N1: MB Kedah mahu kerajaan isytihar darurat kesihatan

ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, mendesak Kementerian Kesihatan mengumumkan darurat kesihatan dalam tempoh terdekat berikutan penularan wabak Influeza A (H1N1) yang disifatkan serius dan memerlukan langkah drastik bagi menyelamatkan nyawa rakyat.

Azizan berkata, beliau difahamkan Malaysia adalah negara keempat mencatat angka kematian dan jangkitan tertinggi H1N1 dan keadaan ini sekali gus mencetuskan kebimbangan di kalangan masyarakat.

Beliau berkata, kerajaan negeri bersedia untuk membatalkan semua program dan keraian yang membabitkan majlis sosial, termasuk sambutan hari kemerdekaan jika keadaan dilaporkan semakin meruncing.

"Saya hanya menunggu keputusan Kerajaan Pusat, jika kerajaan memutuskan darurat kesihatan, kerajaan negeri sedia membatalkan semua keraian yang membabitkan majlis sosial termasuk sambutan hari kemerdekaan.

"Perkara ini perlu dipandang serius kerana kematian akibat penyakit terbabit semakin tinggi dan jika langkah pencegahan tidak diambil kita bimbang lebih ramai nyawa akan terkorban," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kakitangan Awam di Wisma Darulaman di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan perlu mendedahkan laporan sebenar mengenai tahap penularan penyakit itu di negara ini bagi menyedarkan rakyat betapa penting mengamalkan kaedah perlindungan, termasuk pemakaian topeng ketika ini.

"Saya berpendapat kerajaan perlu telus dan tidak perlu menyembunyikan perkara sebenar (penularan H1N1) kerana ia hanya akan memburukkan keadaan.

"Saya percaya, jika keadaan sebenar didedahkan termasuk laporan tahap penularan wabak ini dan kawasan panas, mungkin rakyat tidak akan memandang sambil lewa dan akan mengamalkan langkah perlindungan untuk menyelamatkan nyawa mereka.

"Saya kira ia (mendedahkan perkara sebenar) dianggap satu kaedah positif mengekang penularan virus berbahaya itu," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai potensi calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, Pulau Pinang, Azizan berkata, beliau tidak menganggap faktor umur antara kedua-dua calon sebagai satu modal kemenangan.

"Soal umur bukan faktor untuk menang atau kalah dalam pilihan raya. Tetapi mungkin itu kelebihan kepada calon (Pas)," katanya enggan mengulas lanjut.

Pada pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir, BN menurunkan Setiausaha Umno Bahagian Permatang Pauh, Rohaizat Othman, 38, sebagai calon, manakala Pas pula meletakkan Pesuruhjaya Pas Pusat Pulau Pinang, Salleh Man, 52. - Berita Harian.

Comments

Popular posts from this blog

Risiko ikat peranakan

KEADAAN mengikat peranakan (dari kiri) dilecuhkan, ikat, potong dan klip. Peluang wanita hamil semula amat tipis biarpun jalani prosedur buka semula salur fallopian dan IVF APAKAH pilihan yang ada sekiranya selepas mengikat salur peranakan secara Bilateral Tubal Ligation (BTL), anda mengubah fikiran untuk hamil semula? Pertama melakukan prosedur Reversal of Tubal Ligation (RTL) iaitu membuka semula tiub fallopian yang diikat atau teknik Permanian Berhadas yang lebih dikenali sebagai In-Vitro Fertilization (IVF). Apapun pilihan anda, dilemanya tetap ada. Pelbagai faktor harus diambil kira termasuk emosi, mental, fizikal, peratusan kejayaan kedua-dua teknik ini yang masih rendah selain kosnya yang agak tinggi. Isu berkaitan zuriat memang cukup menyentuh emosi kerana zuriat bukan saja mampu mengukuhkan ikatan perkahwinan malah berkemungkinan menjadi penyebab keruntuhan rumah tangga. Pakar Perunding Obstetrik, Ginekologi dan Perubatan Reproduktif, Pusat Perubatan Darul Ehsa...

Yang Antah perlu bantuan rawat mata

Oleh Siti Haliza Yusop shyusop@bharian.com.my Yang Antah Afiqa bersama ibunya, Mislizam Dzulkifli. Bapa terpaksa jual kereta biayai perubatan KUALA LUMPUR: Seorang bapa merayu simpati orang ramai bagi membolehkan anaknya Yang Antah Afiqah, 5, yang menghidap masalah kornea mata sejak kecil menjalani rawatan segera agar dapat melihat dengan lebih jelas seperti kanak-kanak lain. Mohd Kamarulzaman Ismail, 48, berkata sejak anaknya itu dimasukkan ke hospital, beliau terpaksa menjual kereta jenis Nissan Sunny miliknya untuk digunakan bagi menanggung pembiayaan mengubati penyakit anaknya itu. “Penjualan kereta Nissan Sunny berjumlah lebih RM2,000 itu, digunakan sebagai pembiayaan pembedahan serta pembelian lensa mata kanan dan kiri selain menanggung perbelanjaan berulang-alik dari hospital supaya anaknya itu dapat menjalani rawatan susulan. “Saya juga turut berharap sumbangan dari kenalan yang turut bersimpati dengan nasib saya yang perlu menangg...

Cat Mesra Alam, Rendah Bau, Baik Untuk Kesihatan

Oleh Rohana Mustaffa KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Bagi mereka yang gemar menghidu bau dinding baru disapu cat, mereka tidak menyedari aroma yang agak 'mengasyikkan' ini ialah wap cat yang sebenarnya antara bahan alergi yang biasa didapati di rumah selain hama debu, bulu binatang peliharaan dan kulat. Walaupun sapuan cat baru cara paling mudah memberikan kesegaran pada suasana bilik, wap atau gas dikeluarkan dari dinding yang baru disapu cat, sebenarnya membawa risiko kepada kesihatan. Memang ada yang rasa teruja bila berada di dalam bilik yang baru menerima sapuan lapisan cat. Tetapi bagi yang lain termasuk mereka yang melakukan kerja mengecat itu sendiri, boleh mengalami pedih mata, sakit kepala selain semput nafas. Kajian menunjukkan pendedahan berlebihan terhadap 'wap' yang dihasilkan dari cat boleh menyebabkan iritasi mata dan juga masalah pernafasan. Ada juga laporan tentang risiko keguguran yang lebih tinggi, peningkatan risiko asma kanak-kanak serta ...