Saturday, August 22, 2009

Tiada kes kematian dalam 24 jam

BUKIT MERTAJAM: Tiada kematian akibat wabak selesema babi (H1N1) sepanjang tempoh 24 jam menjadikan jumlah korban akibat wabak itu sehingga semalam, kekal 68 orang sejak kematian pertama membabitkan seorang pelajar warga Indonesia, dilaporkan pada 21 Julai lalu.

Bagaimanapun, bilangan kes jangkitan terus meningkat dengan 380 kes baru dilaporkan sehingga semalam menjadikan jumlah keseluruhan kes jangkitan di negara ini mencecah 5,876.

Memberitahu pemberita selepas merasmikan kempen pencegahan H1N1 di Bukit Indera Muda, di sini, semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, sehingga kini, seramai 1,556 pesakit sedang menerima rawatan di 98 hospital seluruh negara dan 44 daripadanya ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata daripada 44 kes yang sedang dirawat di ICU, 20 kes mempunyai faktor risiko iaitu penyakit kronik (tujuh), hamil dan bersalin (empat), bayi (empat), asma (dua), obesiti (dua) dan kanak-kanak istimewa (satu).

Dr Mohd Ismail berkata, orang ramai boleh mendapatkan bekalan ubat antiviral daripada klinik kesihatan swasta yang menyertai rangkaian Klinik Cegah dan Rawat H1N1 yang dilancarkan pada 20 Ogos lalu. - Berita Harian.

No comments:

Post a Comment