Skip to main content

Kawal kencing manis elak CKD

HARI Buah Pinggang Sedunia yang disambut pada 12 Mac setiap tahun di seluruh dunia merupakan kempen kesedaran kesihatan peringkat global yang memberi tumpuan kepada kesedaran tentang kepentingan penjagaan buah pinggang.

Ini kerana lebih daripada 500 juta individu di seluruh dunia menderita akibat masalah organ terpenting itu dan meninggal dunia sebelum waktunya disebabkan penyakit kardiovaskular yang dikaitkan dengan penyakit buah pinggang kronik (CKD).

 Kegagalan fungsi buah pinggang menyebabkan pesakit memilih kaedah rawatan hemodialisis. - Gambar hiasan.

Punca utama CKD adalah kencing manis dan tekanan darah tinggi yang gagal dikawal dengan baik.

Apabila CKD semakin merosot pesakit mungkin tidak ada pilihan kecuali bergantung kepada rawatan dialisis sepanjang hayat mereka.

Berlandaskan faktor tersebut juga, negara memilih tema Kawal Kencing Manis - Lindungi Buah Pinggang Anda bagi sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2010 yang dianjurkan dengan kerjasama antara Yayasan Buah Pinggang Malaysia (NKF), Persatuan Nefrologi Malaysia (MSN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Pemeriksaan awal

Pemilihan tema tersebut diharap dapat meningkatkan tahap kesedaran tentang pentingnya melakukan pemeriksaan awal dan komprehensif, khususnya di kalangan mereka dalam kategori berisiko tinggi seperti penghidap kencing manis dan darah tinggi.

Pengerusi Lembaga Pengurus NKF, Datuk Dr. Zaki Morad Mohd. Zaher berkata, masyarakat perlu mempunyai kesedaran tinggi tentang pentingnya memiliki buah pinggang yang sihat untuk berfungsi menapis dan membersih 200 liter darah setiap hari. Sekali gus bagi mengawal tekanan darah yang merupakan antara penyebab utama CKD.

"Kira-kira lima liter darah mengalir di dalam badan kita. Buah pinggang kita menapis dan membersih kuantiti darah ini sebanyak 40 kali setiap hari.

"Ini bersamaan dengan 200 liter darah iaitu sejumlah yang boleh diisi ke dalam 200 botol," katanya.

Selain itu menurut Dr. Zaki, organ tersebut juga menghasilkan hormon penting yang merangsang sumsum tulang bagi membentuk sel-sel darah merah, mengawal tekanan darah dan memastikan tulang sihat dan kuat.

Penyakit buah pinggang menjadi kronik apabila ia mula hilang kemampuan untuk berfungsi secara beransur-ansur.

Penyakit ini merupakan sejenis penyakit yang menyerang secara senyap dan sering tidak disedari kewujudannya kerana ia tidak boleh dirasai.

Biarpun kadar kelaziman CKD agak tinggi dan berbahaya ia sebenarnya masih mempunyai peluang untuk dirawat.

Katanya, CKD lazimnya berlaku apabila seseorang individu mengalami masalah albumin berlebihan dalam air kencing atau berlaku penurunan mendadak pada fungsi buah pinggang.

Apabila CKD tidak dikawal pada peringkat awal ia akan mengakibatkan kerosakan buah pinggang, maka proses berikutnya adalah dialisis atau pemindahan buah pinggang.

Bagaimanapun tegasnya, pelbagai rintangan dan kesukaran dalam mendapatkan buah pinggang baru.

''Hal ini akan menyebabkan ramai pesakit memilih untuk kaedah rawatan hemodialisis atau dialisis peritoneal,'' katanya lagi.

Di Malaysia katanya, terdapat hampir 20,000 orang pesakit yang memerlukan rawatan dialisis.

Disebabkan kos rawatan dialisis agak tinggi, kerajaan telah memberi subsidi kepada pesakit yang miskin dan kurang berkemampuan.

"Pihak yayasan giat membantu Kementerian Kesihatan dalam mengenal pasti pesakit yang benar-benar memerlukan bantuan bagi menanggung kos rawatan dialisis yang semakin meningkat dari masa ke semasa," katanya.

Mengulas lebih lanjut mengenai NKF, Dr. Zaki memberitahu, yayasan tesebut kini mempunyai 23 buah pusat dialisis dan bertindak sebagai pembekal perkhidmatan dialisis utama di negara ini.

''Namun dewasa ini, tumpuan kami tidak terbatas kepada penyediaan perkhidmatan dialisis semata-mata,'' katanya.

Jelasnya lagi, di negara ini hampir 55 peratus daripada pesakit dialisis baru adalah penghidap kencing manis dan hasil dialisis adalah kritikal bagi mereka yang menghidap kencing manis.

Malangnya, penyakit kencing manis jenis dua ini tidak dapat dikesan untuk selama bertahun-tahun.

''Pada ketika itu, pengambilan gula berlebihan tanpa kawalan boleh mengakibatkan kerosakan tisu dan organ pada badan seperti saluran darah, mata dan buah pinggang,'' ujarnya.

Maka dengan itu saringan kesihatan, khususnya ujian air kencing dan juga pemeriksaan darah, adalah perlu bagi rakyat Malaysia.

Pemeriksaan ini bertujuan bagi memupuk kesedaran di kalangan rakyat Malaysia tentang bahaya penyakit kencing manis serta kaedah pencegahannya.

Sementara itu, sempena sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2010, NKF akan melancarkan kempen pemeriksaan kesihatan di pusat beli-belah 1 Utama, Petaling Jaya pada 14 Mac ini.

Pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk para pengunjung termasuk demonstrasi memasak oleh Datuk Chef Wan dan diikuti oleh aktiviti jalan kaki Amazing Kidneys Walk Hunt yang terbuka untuk penyertaan kepada pengunjung, termasuk pesakit dialisis dan ahli keluarga mereka.

Acara jalan kaki ini dianjurkan untuk tujuan mengutip dana bagi pesakit-pesakit yang miskin dan amat memerlukan bantuan.

Bagi mereka yang ingin memperoleh maklumat yang lebih terperinci berhubung dengan aktiviti sambutan WKD 2010 ini, sila hubungi talian bebas tol NKF di 1300-88-3110 atau layari laman sesawang www.nkf.org.my. - Utusan

Comments

Popular posts from this blog

Risiko ikat peranakan

KEADAAN mengikat peranakan (dari kiri) dilecuhkan, ikat, potong dan klip. Peluang wanita hamil semula amat tipis biarpun jalani prosedur buka semula salur fallopian dan IVF APAKAH pilihan yang ada sekiranya selepas mengikat salur peranakan secara Bilateral Tubal Ligation (BTL), anda mengubah fikiran untuk hamil semula? Pertama melakukan prosedur Reversal of Tubal Ligation (RTL) iaitu membuka semula tiub fallopian yang diikat atau teknik Permanian Berhadas yang lebih dikenali sebagai In-Vitro Fertilization (IVF). Apapun pilihan anda, dilemanya tetap ada. Pelbagai faktor harus diambil kira termasuk emosi, mental, fizikal, peratusan kejayaan kedua-dua teknik ini yang masih rendah selain kosnya yang agak tinggi. Isu berkaitan zuriat memang cukup menyentuh emosi kerana zuriat bukan saja mampu mengukuhkan ikatan perkahwinan malah berkemungkinan menjadi penyebab keruntuhan rumah tangga. Pakar Perunding Obstetrik, Ginekologi dan Perubatan Reproduktif, Pusat Perubatan Darul Ehsa...

Yang Antah perlu bantuan rawat mata

Oleh Siti Haliza Yusop shyusop@bharian.com.my Yang Antah Afiqa bersama ibunya, Mislizam Dzulkifli. Bapa terpaksa jual kereta biayai perubatan KUALA LUMPUR: Seorang bapa merayu simpati orang ramai bagi membolehkan anaknya Yang Antah Afiqah, 5, yang menghidap masalah kornea mata sejak kecil menjalani rawatan segera agar dapat melihat dengan lebih jelas seperti kanak-kanak lain. Mohd Kamarulzaman Ismail, 48, berkata sejak anaknya itu dimasukkan ke hospital, beliau terpaksa menjual kereta jenis Nissan Sunny miliknya untuk digunakan bagi menanggung pembiayaan mengubati penyakit anaknya itu. “Penjualan kereta Nissan Sunny berjumlah lebih RM2,000 itu, digunakan sebagai pembiayaan pembedahan serta pembelian lensa mata kanan dan kiri selain menanggung perbelanjaan berulang-alik dari hospital supaya anaknya itu dapat menjalani rawatan susulan. “Saya juga turut berharap sumbangan dari kenalan yang turut bersimpati dengan nasib saya yang perlu menangg...

Cat Mesra Alam, Rendah Bau, Baik Untuk Kesihatan

Oleh Rohana Mustaffa KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Bagi mereka yang gemar menghidu bau dinding baru disapu cat, mereka tidak menyedari aroma yang agak 'mengasyikkan' ini ialah wap cat yang sebenarnya antara bahan alergi yang biasa didapati di rumah selain hama debu, bulu binatang peliharaan dan kulat. Walaupun sapuan cat baru cara paling mudah memberikan kesegaran pada suasana bilik, wap atau gas dikeluarkan dari dinding yang baru disapu cat, sebenarnya membawa risiko kepada kesihatan. Memang ada yang rasa teruja bila berada di dalam bilik yang baru menerima sapuan lapisan cat. Tetapi bagi yang lain termasuk mereka yang melakukan kerja mengecat itu sendiri, boleh mengalami pedih mata, sakit kepala selain semput nafas. Kajian menunjukkan pendedahan berlebihan terhadap 'wap' yang dihasilkan dari cat boleh menyebabkan iritasi mata dan juga masalah pernafasan. Ada juga laporan tentang risiko keguguran yang lebih tinggi, peningkatan risiko asma kanak-kanak serta ...