Skip to main content

Denggi semakin menular

KOTA KINABALU 8 Mac - Jika pada November tahun lalu, Sabah dilanda wabak taun khususnya di Semporna, kini demam denggi pula menjadi satu ancaman baru.

Penyakit berjangkit itu dikesan baru-baru ini dan daerah paling teruk diserang wabak tersebut adalah Penampang, Putatan dan Petagas yang berkedudukan tidak jauh dari ibu negeri.

PROJEK meroboh enam buah rumah berdekatan Kampung Muhibbah, Petagas, untuk tujuan melebar jambatan tidak diurus dengan baik dan turut menjadi penyumbang terhadap pembiakan nyamuk aedes.

Bagi mencegah wabak denggi daripada merebak, pihak Pejabat Kesihatan Penampang sudah melakukan beberapa semburan di kawasan tersebut.

Selain itu, pejabat tersebut juga menyarankan orang ramai supaya mengamalkan kebersihan dan mencegah persekitaran yang boleh menyumbang kepada penularan denggi.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa kawasan perumahan dan kampung di Putatan dan Petagas, kelmarin, mendapati, saranan itu masih tidak mendapat maklum balas memberangsangkan.

Kesedaran tentang pentingnya persekitaran yang bersih belum kelihatan kerana longgokan sampah dan bekas-bekas yang menakung air masih boleh dilihat.

Selain sikap segelintir penduduk yang tidak mengamalkan persekitaran bersih, faktor lain yang menyumbang masalah denggi adalah masalah perparitan tersumbat.

Di Petagas, saluran parit utama dari Taman Jumbo dan Kampung Muhibbah yang sepatutnya mengalir ke Sungai Petagas didapati telah ditutup atau ditimbus dengan tanah.

Keadaan itu menyebabkan air tersekat dan tidak dapat mengalir ke sungai berkenaan sekali gus mengakibatkan pencemaran bau dan menjadi tempat pembiakan nyamuk.

Keadaan diburukkan lagi dengan kerja-kerja meroboh enam buah rumah di tepi sungai berkenaan yang bertujuan melebar jambatan tetapi sisa kayunya dibiarkan begitu sahaja.

Seorang penduduk, Samula Heddi, 50, berkata, sejak projek meroboh rumah itu bermula pada tahun lalu yang bertujuan mengatasi masalah kesesakan di Jalan Kepayan-Petagas, keadaan menjadi bertambah teruk.

Katanya, persekitaran kotor dengan sisa sampah dan kayu yang tidak dikumpul atau dibakar telah menyumbang terhadap pembiakan nyamuk.

"Sekarang ini bermula pukul 5 petang nyamuk sudah banyak, itu belum lagi waktu malam. Kami rimas dengan keadaan ini dan pihak kontraktor sepatutnya bertanggungjawab.

"Semua sampah dan sisa kayu perlu dibakar atau diangkut ke tempat pembuangan sampah. Jika keadaan ini berterusan kami khuatir masalah denggi akan semakin teruk," katanya kepada pemberita kelmarin.

Jailah Lakapi, 50, pula berkata, pihak kontraktor perlu melebar parit sedia ada dan membersih saluran yang tertimbus bagi membolehkan air dapat mengalir ke Sungai Petagas.

Hanya dengan cara tersebut katanya, usaha memerangi dan mencegah denggi akan dapat dilakukan di peringkat awal tanpa perlu menunggu wabak tersebut menjadi serius.

"Pihak kontraktor ada membuat longkang kedua untuk mengalirkan air tetapi tidak berkesan kerana aliran air tersebut turut berakhir di hujung saliran yang tertimbus itu," katanya.

Ijan Suhaimi, 17, pula mencadangkan pihak kesihatan melakukan semburan asap atau kabus di tempat-tempat yang berpotensi untuk nyamuk aedes membiak.

Langkah awal itu katanya, akan membuatkan penduduk setempat mengambil langkah berjaga-jaga sekali gus memberi kesedaran dan mengikis sikap mementingkan diri sendiri.

"Selagi penyemburan tidak dilakukan, mungkin penduduk masih menganggap ancaman denggi adalah satu wabak yang tidak perlu dihiraukan atau juga tidak berbahaya," ujarnya.

Bagi Jali Samula, 29, bahagian hujung parit tersebut jika tidak dibuka semula bukan sahaja akan menyebabkan pelbagai penyakit tetapi juga mengakibatkan banjir kilat.

Katanya, situasi tersebut pernah berlaku sebelum ini tetapi masih tidak ada pihak yang bertanggungjawab menyelesai masalah berkenaan. - Utusan

Comments

Popular posts from this blog

Risiko ikat peranakan

KEADAAN mengikat peranakan (dari kiri) dilecuhkan, ikat, potong dan klip. Peluang wanita hamil semula amat tipis biarpun jalani prosedur buka semula salur fallopian dan IVF APAKAH pilihan yang ada sekiranya selepas mengikat salur peranakan secara Bilateral Tubal Ligation (BTL), anda mengubah fikiran untuk hamil semula? Pertama melakukan prosedur Reversal of Tubal Ligation (RTL) iaitu membuka semula tiub fallopian yang diikat atau teknik Permanian Berhadas yang lebih dikenali sebagai In-Vitro Fertilization (IVF). Apapun pilihan anda, dilemanya tetap ada. Pelbagai faktor harus diambil kira termasuk emosi, mental, fizikal, peratusan kejayaan kedua-dua teknik ini yang masih rendah selain kosnya yang agak tinggi. Isu berkaitan zuriat memang cukup menyentuh emosi kerana zuriat bukan saja mampu mengukuhkan ikatan perkahwinan malah berkemungkinan menjadi penyebab keruntuhan rumah tangga. Pakar Perunding Obstetrik, Ginekologi dan Perubatan Reproduktif, Pusat Perubatan Darul Ehsa...

Yang Antah perlu bantuan rawat mata

Oleh Siti Haliza Yusop shyusop@bharian.com.my Yang Antah Afiqa bersama ibunya, Mislizam Dzulkifli. Bapa terpaksa jual kereta biayai perubatan KUALA LUMPUR: Seorang bapa merayu simpati orang ramai bagi membolehkan anaknya Yang Antah Afiqah, 5, yang menghidap masalah kornea mata sejak kecil menjalani rawatan segera agar dapat melihat dengan lebih jelas seperti kanak-kanak lain. Mohd Kamarulzaman Ismail, 48, berkata sejak anaknya itu dimasukkan ke hospital, beliau terpaksa menjual kereta jenis Nissan Sunny miliknya untuk digunakan bagi menanggung pembiayaan mengubati penyakit anaknya itu. “Penjualan kereta Nissan Sunny berjumlah lebih RM2,000 itu, digunakan sebagai pembiayaan pembedahan serta pembelian lensa mata kanan dan kiri selain menanggung perbelanjaan berulang-alik dari hospital supaya anaknya itu dapat menjalani rawatan susulan. “Saya juga turut berharap sumbangan dari kenalan yang turut bersimpati dengan nasib saya yang perlu menangg...

Cat Mesra Alam, Rendah Bau, Baik Untuk Kesihatan

Oleh Rohana Mustaffa KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Bagi mereka yang gemar menghidu bau dinding baru disapu cat, mereka tidak menyedari aroma yang agak 'mengasyikkan' ini ialah wap cat yang sebenarnya antara bahan alergi yang biasa didapati di rumah selain hama debu, bulu binatang peliharaan dan kulat. Walaupun sapuan cat baru cara paling mudah memberikan kesegaran pada suasana bilik, wap atau gas dikeluarkan dari dinding yang baru disapu cat, sebenarnya membawa risiko kepada kesihatan. Memang ada yang rasa teruja bila berada di dalam bilik yang baru menerima sapuan lapisan cat. Tetapi bagi yang lain termasuk mereka yang melakukan kerja mengecat itu sendiri, boleh mengalami pedih mata, sakit kepala selain semput nafas. Kajian menunjukkan pendedahan berlebihan terhadap 'wap' yang dihasilkan dari cat boleh menyebabkan iritasi mata dan juga masalah pernafasan. Ada juga laporan tentang risiko keguguran yang lebih tinggi, peningkatan risiko asma kanak-kanak serta ...