Skip to main content

Pembedahan kosmetik cara baru

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my

ROSE (bukan nama sebenar) merasakan tubuhnya belum kelihatan cantik. Dengan penuh yakin, dia memilih untuk menjalani rawatan sedut lemak. Walaupun berbelanja besar, dia ingin mencari doktor yang benar-benar ada kepakaran dan pengalaman.

Langkahnya laju menuju ke Pusat Perubatan Prince Court yang terletak di Jalan Kia Peng, Kuala Lumpur. Di sana, dia mendapati bukan sahaja wanita berminat melakukan pembedahan kosmetik termasuk sedut lemak, lelaki juga ada keberanian yang sama. Ternyata teknologi itu menjadi buruan lelaki dan wanita untuk sama-sama tampil cantik dan tampan.

Secara ringkas proses sedut lemak menggunakan sistem body-jet. Mesin ini bukan mengurangkan berat badan tetapi memastikan bentuk badan menjadi lebih baik.

Memikirkan beberapa kes kematian akibat rawatan sedut lemak, menjadikan Rose lebih berhati-hati. Daripada menggadaikan nyawa di klinik kecantikan biasa, dia memilih pusat perubatan ternama. Dengan kos yang hampir sama, aspek keselamatan dan keselesaan lebih terjamin.

Pembedahan kosmetik seperti sedut lemak tidak boleh dipandang ringan biar pun ia dikatakan satu prosedur biasa dan melibatkan pembedahan kecil. Sekecil mana pun pembedahan itu tetap ada risiko tersendiri.

Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (USFDA) menganggarkan, bagi setiap 100,000 pembedahan sedut lemak, tiga hingga 100 kes berakhir dengan kematian.

Perunding Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif, Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Yap Lok Huei membetulkan tanggapan bahawa sedut lemak bukanlah proses menurunkan berat badan.

Ia merupakan proses membetulkan kecacatan anggota supaya tampak normal atau untuk kecantikan semata-mata.

"Sebelum anda mengambil keputusan menjalani sebarang pembedahan kosmetik, perkara pertama perlu anda tanya diri sendiri adakah ia benar-benar diperlukan atau sekadar memenuhi keinginan," katanya sambil menunjukkan rawatan terkini sedut lemak menggunakan sistem Body-jet.

Tambah Dr. Lok Huei, pakar pembedahan kosmetik akan memeriksa kesihatan pesakit terlebih dulu bagi memastikan mereka sihat untuk menjalani pembedahan.

"Individu yang menghidap penyakit seperti kencing manis, tekanan darah tinggi yang tidak terkawal dan terlalu gemuk tidak layak dibedah kerana risiko pembedahan sangat tinggi.

" Pelbagai komplikasi boleh berlaku ketika dan selepas pembedahan, terutama pembekuan darah dalam pembuluh darah. Selain itu jika anda demam atau mengalami jangkitan, anda perlu menunggu sehingga sembuh terlebih dulu," jelasnya.

Individu yang sesuai menjalani rawatan lemak adalah mereka yang mempunyai berat badan normal atau lebih sedikit.

Mereka juga mesti mempunyai kulit anjal, tegap dan mempunyai tahap kesihatan yang baik.
Pembedahan sedut lemak bertujuan memperbaiki bentuk dan bukan mengurangkan berat badan.

"Jika anda gemuk atau berlebihan berat badan, rawatan terbaik adalah jaga makan dan kerap bersenam.

"Ini kerana proses membuang lemak tidak akan menurunkan paras kolesterol dalam darah kerana lemak yang disedut terletak di bawah kulit," ujarnya.

Bagi individu yang alami gejala lemak viseral akibat kegemukan di pinggang (ukuran pinggang melebihi 90 sentimeter bagi lelaki dan 80 sentimeter bagi perempuan), rawatan sedut lemak tidak menghilangkan masalah anda kerana lemak penyebab masalah ada di dalam abdomen.

Justeru itu, amat penting seseorang memilih doktor yang benar-benar bertauliah dan berpengalaman.
Tidak dinafikan ramai keliru kerana banyak klinik persendirian, malah pusat kecantikan, menawarkan rawatan sedut lemak tetapi orang ramai perlu berhati-hati.

"Selidik dulu latar belakang doktor dan klinik yang menawarkan khidmat itu. Pastikan ia berdaftar dengan Kementerian Kesihatan khusus untuk pembedahan kosmetik, sama ada doktor berdaftar dengan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Majlis Perubatan Malaysia (MMC) atau Persatuan Pakar Bedah Plastik, Estetik dan Kraniomaksilofasial Malaysia (Mapacs)," katanya.

Menyentuh tentang Body-jet, Dr. Lok Huei memberitahu, ia merupakan antara mesin sedut lemak terbaru dan pertama di Malaysia.

Mesin yang dicipta di German pada tahun 1988 ini mengurangkan risiko dan lebih selamat.

"Tidak seperti mesin lain, teknik sedut yang digunakan agak lembut. Lemak yang diganti dengan pancutan air mengurangkan komplikasi. bahkan meminumkan trauma kerosakan tisu manusia," ujarnya.

Pembedahan sedut lemak adalah asas dalam pengurusan pembedahan kontur tubuh. Ia sebenarnya memulakan era baru pembedahan plastik yang lebih bersifat minimally invasive dengan parut pembedahan yang kecil. Justeru sedut lemak digunakan untuk membetulkan kebanyakan masalah kontur tubuh.

Taburan lemak pada tubuh wanita dan lelaki juga berbeza-beza (sex-specific fat distribution).

Secara purata, perempuan lebih banyak lemak dan ia ditunjukkan menerusi gynoid pattern collection, iaitu tertumpu di paha, punggung, pinggul dan dada. Lelaki pula, lemak terbentuk di android pattern collection yang tertumpu di perut dan dada.

Kaedah sedut lemak mungkin prosedur kecantikan paling popular selepas botox. Walaupun diakui boleh mengecilkan, merampingkan dan membetulkan masalah kontur tubuh di perut, dalam dan luar paha (saddle bags), lengan, pinggang, ia dianggap oleh beberapa pihak sebagai bukan rawatan terbaik untuk selulit.

Kalori yang bertukar menjadi lemak dan berada dalam lapisan dalam kulit sukar dibuang sepenuhnya menerusi pembedahan. Sedut lemak juga menelan belanja yang besar dan ia hanya untuk mereka yang sihat. Bagaimanapun, jika anda mahu cantik, sanggup berbelanja besar dan mahu mencuba, tepuk dada tanyalah selera.

Cara terbaik menyingkirkan lemak, kurangkan pengambilan makanan berkalori. Amalkan diet bersesuaian dengan gaya hidup dan pastikan mempunyai berat ideal. Lakukan senaman, aerobik misalnya. Ada nutrisi tertentu yang boleh anda ambil untuk menentang selulit dengan menstimulasikan pengeluaran lemak, kitaran darah dan saliran limfa.

Pembedahan Sedut Lemak (Liposuction)

INFO

l Ia bertujuan membuang lemak dari bahagian-bahagian tertentu badan seperti perut, punggung, lengan dan juga sekitar paha. Dalam bahasa Inggeris, sedut lemak dikenali nama liposuction atau lipoplasty.
 
l Pembedahan sedut lemak bukanlah alternatif bagi mengurangkan berat badan. Ia lebih mengembalikan bentuk tubuh badan.

l Pembedahan ini biasanya dilakukan dengan memberi pesakit anaesthesia umum. Namun begitu ada juga yang menjalani pembedahan tersebut menggunakan anaesthesia setempat.

l Individu yang ingin menjalani pembedahan mesti mempunyai kesihatan yang baik tanpa mengidap apa-apa penyakit lain seperti diabetes, darah tinggi, sakit jantung dan sebagainya.

l Bahagian yang biasa dilakukan adalah perut dan paha bagi kaum wanita, manakala kaum lelaki pula perut dan tepi perut. - Utusan

Comments

  1. BERAPA HARGA UNTUK SEDUT BAHAGIAN PUNGGUNG DAN PERUT.SAYA INGIN MENJALANI PEMBEDAHAN INI SILA DIAL SAYA 0173497073

    ReplyDelete
  2. DIMANA PUSAT LIPO DI MALAYSIA INI

    ReplyDelete
  3. Saya berminat,bole hubungi saya?? 013-6282969

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Risiko ikat peranakan

KEADAAN mengikat peranakan (dari kiri) dilecuhkan, ikat, potong dan klip. Peluang wanita hamil semula amat tipis biarpun jalani prosedur buka semula salur fallopian dan IVF APAKAH pilihan yang ada sekiranya selepas mengikat salur peranakan secara Bilateral Tubal Ligation (BTL), anda mengubah fikiran untuk hamil semula? Pertama melakukan prosedur Reversal of Tubal Ligation (RTL) iaitu membuka semula tiub fallopian yang diikat atau teknik Permanian Berhadas yang lebih dikenali sebagai In-Vitro Fertilization (IVF). Apapun pilihan anda, dilemanya tetap ada. Pelbagai faktor harus diambil kira termasuk emosi, mental, fizikal, peratusan kejayaan kedua-dua teknik ini yang masih rendah selain kosnya yang agak tinggi. Isu berkaitan zuriat memang cukup menyentuh emosi kerana zuriat bukan saja mampu mengukuhkan ikatan perkahwinan malah berkemungkinan menjadi penyebab keruntuhan rumah tangga. Pakar Perunding Obstetrik, Ginekologi dan Perubatan Reproduktif, Pusat Perubatan Darul Ehsa...

Yang Antah perlu bantuan rawat mata

Oleh Siti Haliza Yusop shyusop@bharian.com.my Yang Antah Afiqa bersama ibunya, Mislizam Dzulkifli. Bapa terpaksa jual kereta biayai perubatan KUALA LUMPUR: Seorang bapa merayu simpati orang ramai bagi membolehkan anaknya Yang Antah Afiqah, 5, yang menghidap masalah kornea mata sejak kecil menjalani rawatan segera agar dapat melihat dengan lebih jelas seperti kanak-kanak lain. Mohd Kamarulzaman Ismail, 48, berkata sejak anaknya itu dimasukkan ke hospital, beliau terpaksa menjual kereta jenis Nissan Sunny miliknya untuk digunakan bagi menanggung pembiayaan mengubati penyakit anaknya itu. “Penjualan kereta Nissan Sunny berjumlah lebih RM2,000 itu, digunakan sebagai pembiayaan pembedahan serta pembelian lensa mata kanan dan kiri selain menanggung perbelanjaan berulang-alik dari hospital supaya anaknya itu dapat menjalani rawatan susulan. “Saya juga turut berharap sumbangan dari kenalan yang turut bersimpati dengan nasib saya yang perlu menangg...

Cat Mesra Alam, Rendah Bau, Baik Untuk Kesihatan

Oleh Rohana Mustaffa KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Bagi mereka yang gemar menghidu bau dinding baru disapu cat, mereka tidak menyedari aroma yang agak 'mengasyikkan' ini ialah wap cat yang sebenarnya antara bahan alergi yang biasa didapati di rumah selain hama debu, bulu binatang peliharaan dan kulat. Walaupun sapuan cat baru cara paling mudah memberikan kesegaran pada suasana bilik, wap atau gas dikeluarkan dari dinding yang baru disapu cat, sebenarnya membawa risiko kepada kesihatan. Memang ada yang rasa teruja bila berada di dalam bilik yang baru menerima sapuan lapisan cat. Tetapi bagi yang lain termasuk mereka yang melakukan kerja mengecat itu sendiri, boleh mengalami pedih mata, sakit kepala selain semput nafas. Kajian menunjukkan pendedahan berlebihan terhadap 'wap' yang dihasilkan dari cat boleh menyebabkan iritasi mata dan juga masalah pernafasan. Ada juga laporan tentang risiko keguguran yang lebih tinggi, peningkatan risiko asma kanak-kanak serta ...