SENAWANG – Klinik 1Malaysia di Seremban Jaya dekat sini mendapat sambutan menggalakkan apabila menerima lebih 1,000 pesakit pelbagai kaum sejak dibuka 7 Januari lalu.
Penolong Pegawai Perubatan, Radzuan Awaludin berkata, berdasarkan statistik diterima, pelanggan yang mendapatkan rawatan kesihatan pada kadar caj RM1 itu semakin meningkat sehingga pernah mencecah 100 orang sehari.
“Memang satu pencapaian membanggakan dan kita sendiri tidak jangka ramai yang memilih Klinik 1Malaysia untuk mendapatkan rawatan, biarpun masing-masing sedia maklum di sini kita hanya tawarkan khidmat kesihatan ringan.
“Bayangkan pada hari pertama kita hanya menerima lima pesakit dan keesokannya 22 pesakit, hari ketiga, 49 pesakit dan seterusnya kunjungan semakin bertambah sehingga 100 pesakit,” katanya.
Menurutnya, waktu puncak ialah antara jam 4 petang hingga 10 malam apabila pesakit datang tidak henti-henti hinggakan kerusi yang disediakan untuk menunggu penuh.
Beliau berkata, ada juga segelintir yang datang membawa seluruh ahli keluarga apabila ibu, ayah dan anak sekali gus mendapatkan rawatan.
“Memang tidak menang tangan dibuatnya dan saya sendiri hanya berhenti bekerja ketika mahu menunaikan solat. Lagipun, kita tidak disediakan dengan ramai kakitangan.
“Dalam tempoh dua minggu saya melihat masyarakat sudah boleh menerima Klinik 1Malaysia yang memperlihatkan usaha kerajaan memperkenalkan perkhidmatan klinik kesihatan komuniti ini mampu memberikan kesejahteraan dan keselesaan kepada rakyat berpendapatan rendah di bandar ini khususnya,” katanya kepada Sinar Harian.
Bagaimanapun, dia mencadangkan pelbagai kemudahan dapat disediakan di setiap Klinik 1Malaysia berikutan permintaan masyarakat terhadap perkhidmatan yang disediakan tidak akan berhenti.
Menurutnya, perkhidmatan ditawarkan perlu ditambah dan bukan sekadar untuk rawatan kesihatan ringan sahaja kerana ada ketikanya klinik menerima kes kecemasan dan memerlukan rawatan segera.
“Kes kecemasan kita terima tapi sekadar membuat penilaian sahaja dan jika perlu, kita akan panggil ambulans dari Klinik Kesihatan berhampiran untuk membawa pesakit mendapatkan rawatan di situ.
“Lagipun kita tidak diperuntukkan dengan kemudahan ambulans dan pemandu. Jika ada kes rujukan mereka perlu pergi sendiri,” katanya.
Sementara bagi kes yang memerlukan rawatan susulan, pihaknya akan melampirkan surat untuk pesakit mendapatkan rawatan susulan di Klinik Kesihatan Kerajaan lain. - Sinar Harian
Comments
Post a Comment