Tuesday, February 23, 2010

Anggota polis terima suntikan cegah H1N1


Saiful Azly Kamaruddin diberi suntikan pencegahan H1N1 di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban, semalam.

SEREMBAN 22 Feb. - Anggota polis yang berada di 'barisan hadapan' menjaga keamanan orang ramai menerima suntikan pencegahan virus selesema babi atau influenza A (H1N1) dalam program yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di sini hari ini.
 
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, program itu merupakan susulan daripada suntikan awal yang telah diberikan kepada anggotanya sebelum ini.

Ini katanya, bagi menghadapi gelombang kedua H1NI yang dijangka pada bila-bila masa dan sebagai memastikan anggota polis yang berada di barisan hadapan tidak dijangkiti virus berkenaan.

''Seramai 1,016 orang pegawai dan anggota polis dari IPD ini telah menerima suntikan pencegahan H1N1.

''Anggota polis sentiasa sahaja terdedah dengan ancaman jangkitan virus H1N1, lebih-lebih lagi apabila mereka berurusan dengan orang ramai," katanya selepas menerima suntikan H1N1 di sini hari ini.

Tambah Saiful, suntikan ini merupakan kali kedua diberikan kepada anggota polis oleh petugas Kementerian Kesihatan.

Sementara itu, Asisten Supritendan Selva Kumaran, 45, berkata, tugasannya banyak melibatkan operasi di dalam kelab-kelab hiburan yang mudah terdedah kepada jangkitan virus H1N1.

''Suntikan ini memberikan perlindungan kepada diri saya dalam melakukan tugasan harian.

''Walaupun demam H1N1 ini berbahaya, namun ia bukan alasan kepada polis dalam melaksanakan tugasan harian.

''Di samping itu, saya juga aktif bersukan dan sering kali keluar negara dalam mewakili sukan tertentu," katanya lagi.

Bagi Sarjan Mejar Mahat Abu Bakar, 48, suntikan ini membuktikan pihak polis sentiasa bersiap siaga dalam apa juga bentuk cabaran yang mendatang.

''Tanggungjawab kepada masyarakat tidak boleh diabaikan dan perlu diteruskan.

'Suntikan ini dapat memberi perlindungan kepada kami," katanya. - Utusan

No comments:

Post a Comment