|
|
BERDIRI atau duduk terlalu lama memang tidak baik untuk kesihatan. Tapi kadang-kadang kita tidak ada pilihan lain. Kesan daripada duduk atau berdiri terlalu lama itu sebenarnya akan menyebabkan pelebaran urat darah atau vena dalam bahagian tubuh terutama di kaki.
Menurut pakar fisioterapi dari Hospital Angkatan Tentera Terendak, Melaka, Kapten Hamid Ahmad, kemunculan vena verikos (varicose veins) mudah dikesan kerana ia akan dapat dilihat menerusi simpulan urat-urat berwarna kebiruan yang ada kalanya akan timbul di permukaan kulit terutama di bahagian betis dan kaki.
"Asal perkataan verikos ini sebenarnya daripada bahasa latin iaitu varix yang bermaksud simpul. Semua pembuluh darah berpotensi menjadi verikos, tapi urat yang paling berisiko adalah di betis dan kaki. Ini disebabkan peningkatan tekanan pada urat di bahagian bawah tubuh.
"Kajian menunjukkan sebanyak 70 peratus wanita mengandung mengalami masalah ini. Ini kerana, kehamilan meningkatkan aliran darah dalam tubuh, tapi sebaliknya mengurangkan aliran darah ke bahagian pelvis.
"Perubahan pusingan darah ini untuk membantu perkembangan janin, namun pada satu aspek ia melebarkan vena di kaki. Varicose vein pada wanita mengandung memang akan menjadi lebih teruk pada penghujung kehamilan," ujar Hamid ketika ditemu bual pada sesi bengkel kesihatan untuk para fisioterapi di Hotel Mahkota, Melaka, baru-baru ini.
Bengkel bertajuk Rehabilitasi Fisioterapi untuk Kecederaan Sukan ini adalah anjuran syarikat pembekal alat bantuan perubatan tanah air, Pinang Medical Supplies.
Menurut Hamid, wanita sememangnya begitu prihatin dengan keadaan ini kerana tidak mahu kaki kelihatan tidak menarik kerana timbul urat-urat yang bersimpul-simpul.
Menurutnya, bagi yang tidak mengandung pula, iaitu mereka perlu berdiri atau duduk untuk satu jangka masa panjang ketika kerja seperti guru dan pekerja kilang, penyakit ini boleh menyebabkan rasa ngilu dan tidak selesa.
Dan jika dibiarkan ia boleh menjadi serius.
"Selain mengandung, faktor lain yang menyumbang kepada masalah ini ialah pekerjaan, umur dan berat badan. Lebih gemuk seseorang maka mudahlah verikos vena terhasil.
"Pada peringkat awal, pesakit mungkin akan mengalami simptom seperti cepat penat, rasa berat dan sengal otot. Di peringkat akhir pula hingga boleh menyebabkan luka atau ulser pada urat tersebut," jelasnya.
Cara mengelakkan
Perubatan moden menawarkan pelbagai kaedah rawatan untuk penyakit ini dan biasanya ia membabitkan pembedahan bergantung kepada tahap keseriusan penyakit. Tetapi tentu ramai daripada kita meletakkan pilihan tersebut sebagai yang terakhir jika ada ikhtiar yang lebih baik.
Memang diakui wanita lebih berisiko untuk mendapat penyakit ini, bagaimanapun ia boleh dielak dengan pemakaian stokin, penjagaan berat badan dan senaman yang berkala.
"Jika anda mula merasa berat untuk bergerak di bahagian kaki, tak boleh berdiri atau duduk untuk satu jangka masa panjang, kulit berubah warna, mengelupas, ulser kulit, otot lemah, kulit gatal atau rengsa anda mungkin mengalami penyakit ini. Jadi jumpalah doktor anda untuk berbincang dengan lebih lanjut tentang cara mengelakkan ia menjadi lebih teruk," katanya yang telah berpengalaman selama lebih 10 tahun dalam bidang fisioterapi.
Salah satu cadangan yang pasti diberikan oleh pegawai perubatan ialah pemakaian stokin.
Bagaimanapun ia bukanlah stokin biasa. Ia diperbuat daripada mesin berkualiti menggunakan teknologi canggih dari Jerman.
Stokin yang dinamakan OPPO Compression Stocking ini berfungsi secara perlahan-lahan mengurangkan tekanan pada bahagian buku lali ke paha sekali gus meningkatkan aliran darah secara betul ke bahagian jantung.
"Ia diperbuat dari silikon dan getah khas untuk mengelakkan daripada bergumpal dan melucut ke bawah," ujar Hamid.
Hamid menambah, bagaimanapun pemakaiannya bergantung pada cadangan pakar terapi fisioterapi sama ada untuk perlindungan atau juga pencegahan. - Utusan
Comments
Post a Comment