JOHOR BAHRU 15 Sept. - Golongan muda perlu didedahkan dengan pelbagai program kemasyarakatan terutamanya mengenai kesedaran kesihatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian berkata, persatuan belia boleh menjalin kerjasama dengan Jabatan Kesihatan negeri atau hospital berdekatan bagi menganjurkan program seperti itu.
Katanya, penganjuran program seumpama itu dapat mengelak golongan remaja daripada terbabit dengan kegiatan tidak sihat.
''Melalui aktiviti tersebut, golongan remaja dapat memanfaatkan masa dengan baik. Program itu juga dapat memberi rangsangan kepada orang muda untuk menyelami perasaan pesakit,'' katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan hari raya anjuran Persatuan Belia Puterawaja Daerah Johor Bahru (Puterawaja) kepada 96 pesakit di Hospital Sultanah Aminah, di sini hari ini.
Osman berkata, kegiatan seperti itu dapat membentuk golongan muda menjadi lebih bertoleransi dan bersatu padu untuk menjayakan kegiatan kemasyarakatan.
Sementara itu, Pemangku Yang DiPertua Puterawaja, Zairul Albar Abu Bakar berkata, pihaknya juga sedang berusaha untuk menyediakan penginapan untuk remaja bermasalah.
''Menerusi program remaja untuk remaja, Puterawaja bercadang membina Rumah Teduhan Kasih untuk membantu gadis-gadis hamil tanpa suami agar kembali ke pangkal jalan," katanya.
Beliau berkata, menerusi aktiviti kemasyarakatan yang dijalankan, Puterawaja ingin mendedahkan golongan muda mengenai tanggujawab mereka sebagai pemimpin pelapis negara. - Utusan
Comments
Post a Comment