|
|
Ada masa makan, ada masa tidak. Tidur malam sering dalam kedinginan hanya berlapikkan sehelai tikar usang.
Jika orang lain menikmati hidangan lazat setiap kali berbuka puasa dan bersahur, bagi Nila Kesuma Mat , 50, dan dua anaknya, Mohd. Faiz Khusaini, 16, dan Nur Fazlin Husna, 15, mereka hanya mengalas perut dengan air kosong dan nasi kosong.
Jika ada yang menghulur bantuan, dapatlah mereka makanan yang lazat, namun kebanyakan hari yang dilalui sarat dengan kesedihan.
Sudah kering air matanya menangis saban hari mengenangkan nasib malang yang dilalui, namun Nila Kesuma pasrah.
''Jika ini dugaan buat saya, saya reda,'' katanya teresak-esak ketika ditemui di rumahnya di PPRT, Jalan Kenangan, Batu 11, Kapar, Selangor.
Keadaan menjadi lebih parah apabila kaki kiri Nila dipotong akibat menghidap kencing manis. Akibatnya pergerakan Nila terbatas.
Bebannya semakin bertambah apabila suaminya hilang entah ke mana sejak tujuh bulan lalu.
''Bagaimana saya hendak cari kerja dengan keadaan diri yang cacat ini. Anak-anak perlukan makanan dan belanja untuk ke sekolah.
''Jika dulu, apabila suami buat hal, saya boleh cari kerja. Semua kerja yang terdaya asal halal saya buat termasuk menjual kuih-muih dan kerja kilang. Tapi kini saya tidak dapat berbuat apa-apa lagi,'' katanya dengan linangan air mata.
Tempat berteduh Nila dan anak-anaknya sekarang adalah sebuah rumah dua bilik yang dibina di bawah Program Kerajaan Prihatin 2002 Sumbangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
Malangnya keadaan keliling rumah amat menyedihkan. Lalang yang tumbuh tinggi serta sistem saliran yang tidak sempurna menakutkan anak beranak ini pada waktu malam bimbang ada binatang berbisa yang menyelinap masuk ke dalam rumah.
''Jika banjir, kami berendam dalam air sehingga paras lutut sebab kawasan di sini sangat rendah. Mujur ada tanah peninggalan bapa, jika tidak, entah bagaimana nasib kami,'' ujarnya sambil memandang dua anaknya di sebelah.
Berasal dari kawasan yang sama, Nila kini berdepan pula dengan masalah kesihatan yang memerlukan perbelanjaan perubatan yang tinggi.
''Setiap bulan, saya perlukan RM300 untuk membeli ubat dan jarum suntikan insulin. Saya juga terpaksa memakai lampin pakai buang sebab tidak dapat menahan kencing. Tambang teksi pula RM70 sebulan untuk ke pekan Kapar mendapatkan rawatan di hospital,'' ujarnya.
Menurut Nila, itu belum masuk perbelanjaan anak-anaknya ke sekolah, makanan mereka tiga beranak serta keperluan asas di dalam rumah.
''Saya tidak ada sumber pendapatan lain kecuali RM400 wang Perkeso yang saya dapat tiap-tiap bulan. Itu semua hanya cukup untuk menampung perbelanjaan perubatan saya,'' sambungnya yang turut mengalami luka pada bahagian punggungnya kerana selalu mengengsot.
Disebabkan kekurangan itu, kata Nila, dia tidak begitu mengambil berat tentang kesihatannya kerana lebih utamakan keperluan sekolah dan makanan untuk anak-anaknya.
''Saya sedih sebab keadaan ini telah menyebabkan anak-anak saya tidak mahu ke sekolah kerana malu dengan kawan-kawan.
''Faiz tidak lagi bersekolah sementara Nur Fazlin kadang-kadang pergi, kadang-kadang tidak sebab tidak ada pengangkutan. Jika ada orang yang tumpangkan, pergilah dia ke sekolah. Jika tidak, memeraplah di rumah,'' cerita Nila yang mengharap anaknya, Faiz dapat diterima masuk ke mana-mana pusat kemahiran demi masa depannya.
Tinjauan Utusan Malaysia ke rumah Nila mendapati masih banyak kekurangan di rumah tersebut.
Bahagian dapur agak sempit dengan sinki yang hampir roboh. Terdapat sofa lama yang diberikan seorang guru yang prihatin. Sementara di dapur, tiada apa-apa kecuali sebiji botol minyak yang telah tinggal separuh.
''Ruang bilik air sangat sempit. Saya tidak boleh berpusing untuk membersih diri hingga terpaksa menggunakan paip air di luar rumah,'' jelas Nila yang terpaksa menggunakan kudrat yang ada untuk terus hidup bersama anak-anaknya.
Jika tergerak hati membantu, sila hulurkan bantuan anda dengan menghubungi Nila Kesuma 017-6975661 atau Akaun Nombor Malayan Banking Berhad 112063028669. - Utusan
Comments
Post a Comment