Friday, February 5, 2010

IJN perkenal alat rawatan jantung pertama di Asia Tenggara


KUALA LUMPUR - Dengan kos sekitar RM4,000 seorang pesakit jantung sekarang boleh mendapatkan resolusi tepat dan takrifan morfologi jantung, struktur dan fungsi, hasil ciptaan terbaru Imbasan Magnetik Resonan (MRI).

Alat yang diberi nama, ‘Magnetom Avanto’, khusus untuk rawatan sistem jantung kini terdapat di Institut Jantung Negara (IJN) di sini, iaitu yang pertama di Asia Tenggara.

Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Seri Dr Robayaah Zambahari menjelaskan alat yang berharga RM7 juta itu adalah satu revolusi baru, teknologi terbaru ini adalah sebuah alat diagnosis tidak invasif tanpa radiasi.

Katanya, ia mampu menghasilkan imej berkualiti tinggi, memberi visual lebih baik bagi morfologi, struktur dan fungsi sistem kardiovaskular.

Antara enam hingga lapan pesakit jantung boleh menggunakan kemudahan ‘Magnetom Avanto’ setiap hari, katanya dan menambah sehingga kini 50 pesakit telah memperoleh faedah daripada alat tersebut sejak dilancarkan pertengahan bulan lepas.

“Dengan penilaian awal dan tepat, rawatan sesuai dan berkesan boleh dimulakan awal, bagi penyakit jantung.

“MRI ‘Magnetom Avanto’ boleh juga digunakan untuk mendiagnos penyakit strok yang tenat, penyakit-penyakit vaskular, kanser dan kecederaan sewaktu bersukan tanpa menggunakan sinar X,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran ‘Magnetom Avanto’ oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin di IJN di sini, semalam. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment