Friday, August 14, 2009

Kerajaan tidak terburu-buru tutup sekolah

MELAKA 13 Ogos - Kerajaan tidak akan terburu-buru menutup kira-kira 10,000 sekolah di seluruh negara walaupun terdapat kebimbangan ibu bapa terhadap wabak selesema babi atau influenza A (H1N1).

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan menutup semua sekolah hanya akan menjejaskan pembelajaran kira-kira 500,000 pelajar di seluruh negara.

Menurutnya, Kementerian Pelajaran mempunyai satu garis panduan mengenai penutupan sesebuah sekolah dan ia bergantung kepada keputusan guru besar atau pengetua mengikut nasihat Jabatan Kesihatan negeri.

"Jika ada pelajar yang dijangkiti wabak itu, dia akan diasingkan dan diberikan rawatan manakala pembelajaran di sekolah tersebut akan berjalan seperti biasa.

"Tetapi jika ada kebimbangan wabak itu sudah merebak, guru besar atau pengetua perlu mendapat nasihat daripada Jabatan Kesihatan negeri sama ada menutup atau tidak sekolah terbabit," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2009 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kementerian memberi kelonggaran kepada guru besar dan pengetua untuk membuat keputusan kerana pihaknya tidak berkemampuan memantau 10,000 sekolah.

"Tak mungkin Pengarah Pelajaran dan pegawai boleh memantau. Kita bagi kuasa kepada guru besar dan pengetua tetapi mereka mesti mengikut garis panduan dan nasihat Jabatan Kesihatan negeri," katanya. - Utusan.

No comments:

Post a Comment