Skip to main content

H1N1: Bayi lahir tidak cukup bulan antara 5 korban terbaru

KUALA LUMPUR 14 Ogos — Seorang bayi yang dilahirkan tidak cukup umur adalah antara lima kematian terkini akibat Influenza A(H1N1), menjadikan jumlah kematian di negara ini sebanyak 56 kematian.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican dalam kenyataan hari ini berkata empat daripada kes kematian mempunyai faktor risiko iaitu obes, diabetes dan TB paru-paru (1 kes), diabetes (1 kes) dan bayi (2 kes).

Katanya, kematian tersebut berlaku pada 8 Ogos (1 kes), 11 Ogos (2 kes) dan 12 Ogos (2 kes).

Menurut beliau, kematian pada 12 Ogos melibatkan bayi tidak cukup bulan berusia 27 minggu yang dimasukkan ke hospital pada 3 Ogos kerana demam, batuk, selesema dan susah bernafas selama tiga hari.

Keadaan bayi berkenaan semakin teruk dan telah diventilasi sebelum ujian swab dan rawatan antiviral diberikan.

Seorang lagi bayi yang meninggal dunia berumur dua bulan yang dimasukkan ke hospital pada 7 Ogos setelah berada dalam keadaan tidak memberikan tindak balas serta pucat.

Katanya, sebelum kejadian itu, bayi berkenaan mula meragam dan kurang minum susu sejak 5 Ogos tetapi tidak demam, batuk atau sesak nafas.

Bagaimanapun, bayi itu telah dimasukkan ke ICU apabila didapati keadaannya semakin kritikal dan meninggal dunia pada 8 Ogos.

Menurut Dr Mohd Ismail, dua lagi kematian melibatkan seorang wanita berumur 49 tahun dan seorang lelaki berumur 57 tahun yang merupakan penghidap diabetes.

Wanita berkenaan, selain obes dan mempunyai diabetes, juga dikesan mempunyai tuberkulosis dan dimasukkan ke hospital pada 29 Julai setelah tidak pulih daripada demam, batuk, sakit tekak dan sesak nafas sejak pertengahan bulan yang sama.

Wanita itu yang dirawat untuk pneumonia dibenarkan pulang pada 3 Ogos dan kemudian dimasukkan semula ke wad empat hari selepas itu untuk rawatan tuberkulosis.

Pada 8 Ogos, beliau telah diberikan antiviral kerana disyaki positif H1N1 sebelum meninggal dunia pada 11 Ogos kerana keadaan kesihatan yang semakin teruk.

Kematian seorang lagi penghidap diabetes adalah pada 12 Ogos akibat sepsis disebabkan pneumonia.

Lelaki berkenaan sebelum itu, mendapat simptom batuk dan selsema pada 2 Ogos tetapi tidak sembuh selepas mendapatkan rawatan.

Lelaki itu kemudian mendapatkan rawatan susulan pada keesokan harinya apabila mengalami demam, muntah dan cirit-birit dan pada hari yang sama dimasukkan ke hospital serta diberikan antiviral.

Seorang remaja lelaki berumur 19 tahun turut menjadi mangsa H1N1 apabila dimasukkan ke wad pada 7 Ogos setelah mengalami demam dan batuk selama dua hari dan diberikan rawatan antiviral.

Remaja itu meninggal dunia empat hari kemudian kerana sesak nafas yang teruk selepas disahkan positif H1N1 pada 8 Ogos.

Sementara itu, Dr Mohd Ismail berkata sebanyak 70 peratus faktor kematian adalah disebabkan faktor risiko kesihatan, 40 peratus didapati lewat mendapat rawatan awal manakala 13 peratus lagi gagal dikesan oleh pengamal perubatan terlebih awal.

“Oleh yang demikian, saya berpendapat ada antara kematian ini dapat dielak sekiranya pesakit dan pengamal perubatan lebih peka dan mengambil tindakan sewajarnya dengan segera,” katanya.

Mengenai situasi terkini H1N1, Dr Mohd Ismail memaklumkan terdapat seramai 72 pesakit H1N1 sedang dirawat di wad dan 27 lagi dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Katanya, daripada 27 kes yang berada di ICU, 18 daripada mereka mempunyai faktor risiko iaitu penyakit kronik (10), obesiti (4), kanak-kanak (2), hamil (1) dan selepas bersalin (1).

Dalam pada itu beliau berkata kadar penularan Influenza A(H1N1) di dalam komuniti adalah tinggi dan ini dapat dilihat daripada ramainya pesakit yang datang ke hospital dan klinik untuk mendapatkan rawatan.

Beliau meminta orang awam khususnya mereka yang mempunyai simptom influenza supaya mengambil langkah pencegahan seperti berehat di rumah selepas mendapatkan rawatan jika tidak dimasukkan ke hospital.

Selain itu, guru dan ketua tempat kerja diminta menjalankan saringan harian untuk memastikan mereka yang mengalami simptom tidak meneruskan kerja atau menghadiri kelas.

Sementara ibu bapa atau penjaga diminta memastikan anak mereka yang mempunyai gejala influenza tidak hadir ke sekolah bagi mengurangkan penularan jangkitan dan tidak mengganggu aktiviti pembelajaran di sekolah. - Utusan.

Comments

Popular posts from this blog

Risiko ikat peranakan

KEADAAN mengikat peranakan (dari kiri) dilecuhkan, ikat, potong dan klip. Peluang wanita hamil semula amat tipis biarpun jalani prosedur buka semula salur fallopian dan IVF APAKAH pilihan yang ada sekiranya selepas mengikat salur peranakan secara Bilateral Tubal Ligation (BTL), anda mengubah fikiran untuk hamil semula? Pertama melakukan prosedur Reversal of Tubal Ligation (RTL) iaitu membuka semula tiub fallopian yang diikat atau teknik Permanian Berhadas yang lebih dikenali sebagai In-Vitro Fertilization (IVF). Apapun pilihan anda, dilemanya tetap ada. Pelbagai faktor harus diambil kira termasuk emosi, mental, fizikal, peratusan kejayaan kedua-dua teknik ini yang masih rendah selain kosnya yang agak tinggi. Isu berkaitan zuriat memang cukup menyentuh emosi kerana zuriat bukan saja mampu mengukuhkan ikatan perkahwinan malah berkemungkinan menjadi penyebab keruntuhan rumah tangga. Pakar Perunding Obstetrik, Ginekologi dan Perubatan Reproduktif, Pusat Perubatan Darul Ehsa...

Cat Mesra Alam, Rendah Bau, Baik Untuk Kesihatan

Oleh Rohana Mustaffa KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Bagi mereka yang gemar menghidu bau dinding baru disapu cat, mereka tidak menyedari aroma yang agak 'mengasyikkan' ini ialah wap cat yang sebenarnya antara bahan alergi yang biasa didapati di rumah selain hama debu, bulu binatang peliharaan dan kulat. Walaupun sapuan cat baru cara paling mudah memberikan kesegaran pada suasana bilik, wap atau gas dikeluarkan dari dinding yang baru disapu cat, sebenarnya membawa risiko kepada kesihatan. Memang ada yang rasa teruja bila berada di dalam bilik yang baru menerima sapuan lapisan cat. Tetapi bagi yang lain termasuk mereka yang melakukan kerja mengecat itu sendiri, boleh mengalami pedih mata, sakit kepala selain semput nafas. Kajian menunjukkan pendedahan berlebihan terhadap 'wap' yang dihasilkan dari cat boleh menyebabkan iritasi mata dan juga masalah pernafasan. Ada juga laporan tentang risiko keguguran yang lebih tinggi, peningkatan risiko asma kanak-kanak serta ...

Hidung berdarah

Oleh Hafizah Iszahanid Masalah kerap berlaku ketika cuaca panas akibat alahan atau disebabkan sinus HIDUNG berdarah adalah masalah yang biasa dan kerap ditemui khususnya ketika cuaca kering seperti yang berlaku sekarang. Bagaimanapun, ia turut berkait rapat dengan sifat hidung itu sendiri yang memiliki banyak salur darah kecil yang menyebabkannya mudah berdarah. Udara yang keluar masuk dari dan melalui hidung pula berpotensi mengeringkan atau menjejaskan membran dalam hidung yang menyebabkannya berkeruping. Keruping ini boleh berdarah apabila digosok atau ditarik. Hidung berdarah disebabkan salur darah kecil pecah. Ada dua jenis pendarahan pada hidung, pendarahan di bahagian atas hidung atau bahagian bawah hidung. Kedudukan hidung juga mendedahkannya kepada trauma jika berlaku kecederaan pada wajah. Walaupun ada kala pendarahan itu sedikit atau hanya komplikasi kecil ada juga kes hidung berdarah sebenarnya simptom kepada masalah kesihatan lain. Pakar...