Friday, February 12, 2010

Keutamaan Vaksin H1N1 Untuk Petugas Barisan Hadapan

PUTRAJAYA, 11 Feb (Bernama) -- Keutamaan pelalian vaksin H1N1 akan diberikan kepada petugas barisan hadapan yang terdiri daripada petugas kesihatan sektor awam dan swasta, anggota polis, tentera, pasukan Bomba dan Penyelamat dan kakitangan Jabatan Imigresen.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata, pelaksanaan langkah seumpama itu adalah berikutan kuantiti bekalan yang terhad.

Katanya, pemberian pelalian tersebut kini dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan negeri.

"Kementerian Kesihatan juga telah mengenal pasti kumpulan sasar berkeutamaan berisiko tinggi untuk diberikan vaksin pelalian ini terdiri daripada wanita hamil dan mendapatkan penjagaan kehamilan di fasiliti kesihatan kerajaan, pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang dan menjalani dialisis di fasiliti kerajaan, pesakit yang menghidapi penyakit kronik dan mendapatkan rawatan susulan di fasiliti kesihatan kerajaan serta individu dengan 'morbid obesity' atau menghidap sebarang penyakit kronik dan mendapat rawatan fasiliti kesihatan kerajaan," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Beliau berkata, orang ramai yang dikategorikan sebagai kumpulan di atas boleh mendapatkan di 87 fasiliti kesihatan kerajaan yang dikenal pasti di seluruh negara.

"Oleh kerana bekalan vaksin ini terhad, ia akan diberikan mengikut 'yang dahulu didahulukan'," katanya. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment