Oleh Mohd Razman Abdullah
JELI, 11 Feb (Bernama) -- Alangkah penatnya bila seorang petani lebih-lebih lagi warga emas terpaksa mengambil masa lebih tiga jam untuk sampai ke hospital Jeli hanya untuk membuat pemeriksaan rutin.
Sudahlah menghidap penyakit jantung, umurpun sudah menjangkau 74 tahun.
Memang memenatkan bagi Latif Wan Hamad untuk membuat pemeriksaan kesihatan kerana jarak rumahnya di Kampung Kuala Lah untuk ke hospital daerah itu adalah sejauh 25 kilometer.
"Bila sebut jarak memang tidak jauh. Tapi di kawasan Hulu Kelantan tempat ambo ni, mana ada bas masuk. Pakcik kena jalan kaki keluar dari kampung ni lima kilometer. Kena tunggu tepi jalan raya harap ada kereta atau prebet sapu (teksi haram) beri tumpang. hok tunggu kereta tu lama makan berjam-jam.
"Duduk di tepi jalan memang penat tunggu, tidak kira lagi kena tunggu di hospital, tunggu sampai doktor panggil lepas tu nak kira balik semula ke rumah, penat weh! abis masa sehari," katanya kepada Bernama.
Namun nasib Latif sudah berubah apabila ada klinik 1Malaysia dibina berdekatan kampungnya iaitu di Batu Melintang dan beroperasi 31 Jan lepas.
RASA LEGA
Latif berkata dengan adanya klinik seperti itu di kawasan pedalaman kini beliau hanya mengambil masa setengah jam untuk pergi ke sana bagi mendapatkan rawatan pemeriksaan kesihatan rutinnya.
"Sekarang ni baru lega. Kalau dulu memang nak tercabut kepala lutut saya penat berjalan, berdiri dan menunggu," katanya.
Baginya sekarang jika beliau mengalami demam atau rasa kurang sihat disebabkan faktor usianya yang kian dimamah masa, beliau dengan mudah akan berjalan kaki ke klinik 1Malaysia.
"Biarpun bangunan hanya sebesar rumah biasa di kawasan kampung, namun sumbangan klinik 1Malaysia memang besar kerana menjimatkan masa, memudahkan masyarakat pedalaman mendapatkan rawatan untuk penyakit biasa.
"Apa paling penting pada hari minggu pun dan cuti umum klinik ini dibuka. Mana nak cari kemudahan macam ni di pedalaman Kelantan ni. Klinik ni macam satu rahmat kepada kepada penduduk sekitar Batu Melintang," kata Latif.
DIBUKA 10 PAGI HINGGA 10 MALAM
Seorang lagi penduduk kampung berdekatan, Salmah Mohd Noor, 46 berkata, ketiadaan klinik terdekat sebelum ini amat menyeksakannya yang memiliki lapan orang anak dan tidak mempunyai kenderaan.
"Paling risau bila anak-anak kecil sakit dan demam serentak, payahnya nak bawa ke hospital apatah lagi pada waktu malam.
"Bayangkan saya perlu usung yang sakit dan tinggal anak saya yang kecil di rumah dan menunggu beberapa jam untuk ke Hospital Jeli. Baginya ia adalah perjalanan yang memenatkan dan menyusahkan," katanya.
Pernah satu ketika beliau terpaksa membiarkan tiga anaknya demam selama lebih dua minggu kerana tidak mampu pergi ke hospital dan hanya bergantung kepada ubat yang dibeli di kedai runcit.
"Adanya klinik ini rasa lega sangat, apatah lagi dibuka dari pukul 10 pagi sampai 10 malam dengan adanya penolong pembantu perubatan dan jururawat yang baik-baik belaka, terima kasihlah kerajaan," katanya.
PRIHATIN KEPERLUAN RAKYAT
Latif dan Salmah merupakan antara 10,000 penduduk kampung di sekitar Batu Melintang, dekat sini yang mendapat kemudahan klinik 1Malaysia.
Ahli Parlimen Jeli dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata kewujudan klinik 1Malaysia di Batu Melintang, Jeli, merupakan klinik pertama seperti itu dibina di kawasan pedalaman dan ia menjadi keprihatinan kerajaaan pusat terhadap keperluan rakyat.
Mustapa berkata meskipun konsep mewujudkan klinik 1Malaysia bertujuan mengatasi kesesakan pesakit di bandar namun kerajaan tetap memberi pengecualian dengan membina sebuah klinik 1Malaysia di pedalaman daerah itu sebagai mengambil kira kesusahan penduduk di kawasan terbabit.
"Kerajaan pusat prihatin terhadap keperluan rakyat di pedalaman khususnya pedalaman Jeli di Batu Melintang ini kerana menghadapi kesukaran ekoran ketiadaan klinik terdekat kecuali klinik swasta dan hospital Jeli.
"Justeru itu kita meminta kerajaan memberi pengecualian dengan mewujudkan sebuah klinik 1Malaysia daripada 50 buah klinik yang diwujudkan seluruh negara untuk keperluan rakyat di kawasan ini," katanya.
EMPAT BUAH DI KELANTAN
Kewujudan klinik terbabit di kawasan itu menjadikan klinik 1Malaysia pertama di kawasan luar bandar berbanding 49 buah klinik lain di seluruh negara termasuk tiga buah klinik di Kelantan yang kesemuanya terletak di kawasan pekan dan bandar, kata Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan Dr Wan Mansor Hamzah.
Beliau berkata klinik tersebut memberi kemudahan kepada penduduk di kampung terbabit dan kampung sekitarnya yang kebanyakannya merupakan golongan berpendapatan rendah.
"Sebelum ini penduduk di sini dan kampung berdekatan yang tidak berkemampuan menghadapi kesukaran untuk ke hospital Jeli yang jaraknya kira-kira 30 kilometer dengan menaiki kenderaan awam, kini kesukaran itu dapat diatasi apabila adanya klinik 1Malaysia yang bersedia memberikan rawatan kepada penduduk selama tujuh hari seminggu," katanya.
Menurutnya, kerajaan pusat memperuntukkan sejumlah RM10 juta untuk menubuhkan klinik 1Malaysia di seluruh negara dan Kelantan memperoleh empat buah klinik 1Malaysia iaitu di pekan Jelawat, Bachok, Pengkalan Batu, Pasir Mas, Sri Cemerlang, Kota Baharu dan di Batu Melintang, Jeli. -- BERNAMA

Comments
Post a Comment