Skip to main content

Suntikan Vaksin H1N1 Kepada Golongan Berisiko Tinggi Bermula Minggu Ini

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Pemberian suntikan vaksin kepada mereka yang berisiko tinggi mendapat komplikasi jangkitan influenza A(H1N1) bermula minggu ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Beliau berkata orang ramai yang dikategorikan sebagai 'kumpulan sasar berkeutamaan' boleh mendapatkan suntikan itu di 104 fasiliti kesihatan kerajaan yang dikenal pasti di seluruh negara.

"Memandangkan bekalan vaksin yang terhad, maka pemberian vaksin dilakukan mengikut pendekatan 'siapa cepat, dia dapat' dan penilaian klinikal yang dijalankan oleh pegawai perubatan yang merawat akan diambil kira bagi menentukan kesesuaian seseorang individu terhadap vaksin.

"Orang ramai yang layak mendapatkan pelalian ini dikehendaki membaca terlebih dahulu maklumat mengenai pelalian vaksin influenza A(H1N1) dan perlu memberi keizinan bertulis dengan mengisi dan mengembalikan borang keizinan bertulis," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata seramai 391 pesakit baru dengan gejala serupa Influenza (ILI) dimasukkan ke hospital sepanjang tempoh 31 Jan hingga 6 Feb lepas.

Dr Mohd Ismail berkata dalam tempoh yang sama juga 356 kes telah discaj keluar.

"Jumlah kes ILI yang masih dirawat di seluruh negara sehingga Sabtu lepas adalah sebanyak 380 kes di 48 buah hospital kerajaan termasuk empat hospital swasta.

"Daripada jumlah tersebut hanya 14 pesakit atau 3.7 peratus merupakan kes Influenza A(H1N1) yang disahkan melalui ujian makmal," katanya.

Beliau berkata terdapat dua kes influenza A(H1N1) sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan salah seorang daripadanya merupakan seorang kanak-kanak berumur kurang lima tahun.

Sehingga 6 Feb lepas, jumlah terkumpul kes positif Influenza A (H1N1) adalah 12,419 dan jumlah kematian terkumpul kekal 77 orang, katanya.

Beliau berkata sepanjang tempoh 31 Jan hingga 6 Feb itu juga lapan kejadian kluster ILI dilaporkan berlaku di sekolah dan Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dengan lima daripada lapan kejadian kluster tersebut positif H1N1.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat terkini berkaitan influenza A(H1N1) serta langkah-langkah pencegahan dan fasiliti kerajaan yang terlibat dalam pemberian vaksin H1N1 boleh memperolehinya melalui laman web http://www.moh.gov.my atau http://h1n1.moh.gov.my, hotline 03-88810200 dan 03-88810300. -- BERNAMA

Comments

Popular posts from this blog

Risiko ikat peranakan

KEADAAN mengikat peranakan (dari kiri) dilecuhkan, ikat, potong dan klip. Peluang wanita hamil semula amat tipis biarpun jalani prosedur buka semula salur fallopian dan IVF APAKAH pilihan yang ada sekiranya selepas mengikat salur peranakan secara Bilateral Tubal Ligation (BTL), anda mengubah fikiran untuk hamil semula? Pertama melakukan prosedur Reversal of Tubal Ligation (RTL) iaitu membuka semula tiub fallopian yang diikat atau teknik Permanian Berhadas yang lebih dikenali sebagai In-Vitro Fertilization (IVF). Apapun pilihan anda, dilemanya tetap ada. Pelbagai faktor harus diambil kira termasuk emosi, mental, fizikal, peratusan kejayaan kedua-dua teknik ini yang masih rendah selain kosnya yang agak tinggi. Isu berkaitan zuriat memang cukup menyentuh emosi kerana zuriat bukan saja mampu mengukuhkan ikatan perkahwinan malah berkemungkinan menjadi penyebab keruntuhan rumah tangga. Pakar Perunding Obstetrik, Ginekologi dan Perubatan Reproduktif, Pusat Perubatan Darul Ehsa...

Cat Mesra Alam, Rendah Bau, Baik Untuk Kesihatan

Oleh Rohana Mustaffa KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Bagi mereka yang gemar menghidu bau dinding baru disapu cat, mereka tidak menyedari aroma yang agak 'mengasyikkan' ini ialah wap cat yang sebenarnya antara bahan alergi yang biasa didapati di rumah selain hama debu, bulu binatang peliharaan dan kulat. Walaupun sapuan cat baru cara paling mudah memberikan kesegaran pada suasana bilik, wap atau gas dikeluarkan dari dinding yang baru disapu cat, sebenarnya membawa risiko kepada kesihatan. Memang ada yang rasa teruja bila berada di dalam bilik yang baru menerima sapuan lapisan cat. Tetapi bagi yang lain termasuk mereka yang melakukan kerja mengecat itu sendiri, boleh mengalami pedih mata, sakit kepala selain semput nafas. Kajian menunjukkan pendedahan berlebihan terhadap 'wap' yang dihasilkan dari cat boleh menyebabkan iritasi mata dan juga masalah pernafasan. Ada juga laporan tentang risiko keguguran yang lebih tinggi, peningkatan risiko asma kanak-kanak serta ...

Hidung berdarah

Oleh Hafizah Iszahanid Masalah kerap berlaku ketika cuaca panas akibat alahan atau disebabkan sinus HIDUNG berdarah adalah masalah yang biasa dan kerap ditemui khususnya ketika cuaca kering seperti yang berlaku sekarang. Bagaimanapun, ia turut berkait rapat dengan sifat hidung itu sendiri yang memiliki banyak salur darah kecil yang menyebabkannya mudah berdarah. Udara yang keluar masuk dari dan melalui hidung pula berpotensi mengeringkan atau menjejaskan membran dalam hidung yang menyebabkannya berkeruping. Keruping ini boleh berdarah apabila digosok atau ditarik. Hidung berdarah disebabkan salur darah kecil pecah. Ada dua jenis pendarahan pada hidung, pendarahan di bahagian atas hidung atau bahagian bawah hidung. Kedudukan hidung juga mendedahkannya kepada trauma jika berlaku kecederaan pada wajah. Walaupun ada kala pendarahan itu sedikit atau hanya komplikasi kecil ada juga kes hidung berdarah sebenarnya simptom kepada masalah kesihatan lain. Pakar...