Tuesday, August 25, 2009

H1N1: Kanak-kanak 3 tahun korban ke-70

Oleh Wan Hazmir Bakar

KUALA LUMPUR: Kanak-kanak berusia tiga tahun menjadi korban ke-70 wabak Influenza A (H1N1) di negara ini.

Kematian kanak-kanak itu didaftarkan hari ini setelah disahkan oleh Jawatankuasa Semakan Kematian (Mortality Review Committee).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata sejumlah 52 pesakit baru dengan gejala influenza-like illness (ILI) telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan.

Katanya, pada masa sama sejumlah 162 pesakit ILI telah dibenar keluar wad menjadikan baki seramai 1,345 pesakit ILI sedang menerima rawatan di 82 hospital di seluruh negara.

"Untuk makluman daripada jumlah pesakit yang sedang dirawat, hanya 202 pesakit (15%) yang disahkan positif H1N1," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Mohd Ismail berkata, daripada 202 kes yang disahkan H1N1, 42 kes berada di ICU di mana lima kes adalah kemasukan baru dan terdapat dua kematian sementara 2 lagi kes dipindah keluar dari ICU.

"Daripada 42 kes yang sedang dirawat di ICU, 38 kes (95%) mempunyai faktor risiko iaitu penyakit kronik (15), obesiti (9), diabetes (6), kanak-kanak/bayi (3), hamil/postnatal (3) dan Sindrom Down (2)," katanya.

Beliau berkata, di peringkat global, laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan jumlah kes sehingga hari ini meningkat kepada 239,397 dengan 2,578 kematian.

Katanya, ini menunjukkan penularan pandemik H1N1 di dunia masih lagi aktif dengan jumlah negara sebanyak 182.

"Pihak WHO dalam laporannya juga mengingatkan bahawa angka-angka yang ditunjukkan tidak menunjukkan gambaran situasi sebenar memandangkan WHO kini tidak lagi mewajibkan pelaporan kes," katanya. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment