KUALA LUMPUR: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, hari ini menasihatkan semua peserta sambutan Hari Kemerdekaan Ke-52, terutamanya yang menjalani ibadah puasa, menjaga kesihatan supaya sentiasa dalam keadaan optimum.
Walaupun dalam keadaan berpuasa, beliau berharap peserta dapat menunjukkan semangat kuat dan bersungguh-sungguh ketika melakukan aktiviti pada acara itu yang akan diadakan di Dataran Parlimen, Isnin ini.
"Walaupun kita berpuasa, pada hari sebenar sambutan nanti, saya harap kita semua akan menunjukkan semangat yang kuat dan bersungguh-sungguh semasa mengibarkan Jalur Gemilang dan menyanyikan lagu Negaraku dan lagu patriotik," katanya ketika menyampaikan taklimat ringkas kepada ahli Jawatankuasa Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-52 selepas menyaksikan raptai penuh di Dataran Parlimen di sini.
Rais juga meminta ahli jawatankuasa supaya menyediakan payung untuk peserta terutamanya kepada penyambut tetamu orang kenamaan sebagai langkah persediaan jika hujan pada sambutan itu.
"Kesihatan peserta terutamanya anggota pasukan beruniform pun kita harus awasi dan segera bawa mereka untuk mendapatkan rawatan kecemasan sekiranya perlu," katanya.
"Mereka akan dibekalkan dengan alat pembesar suara dan kelengkapan rawatan kecemasan di samping bertugas sebagai penyelaras para peserta," katanya.
Menurutnya, atas permintaan ibu bapa, pelajar sekolah tidak dibabitkan dalam sambutan kali ini kerana kebimbangan terhadap penularan virus Influenza A(H1N1).
"Malah kita juga tidak galakkan peserta bersentuhan dan bersalaman untuk elak dijangkiti virus tersebut," katanya.
Kira-kira 10,000 peserta termasuk pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), pelatih institut perguruan dari Bahagian Pentadbiran Guru, warga kementerian dan agensi awam, badan-badan berkanun dan pihak swasta menyertai sambutan kali ini.
Sempena menghormati bulan Ramadan, sambutan kemerdekaan tahun ini akan berlangsung selama 40 minit saja tanpa kawad dan perbarisan lintas hormat seperti tahun-tahun sebelum ini.
Sebaliknya, peserta akan berbaris di sepanjang jalan dari simpang Bank Negara hingga ke Dataran Parlimen sambil mengibarkan Jalur Gemilang dan menyanyikan lagu patriotik.
Rais menjelaskan walaupun sambutan tahun itu diadakan secara sederhana, ia tidak boleh dilihat sebagai sesuatu yang negatif kerana impaknya masih jelas kelihatan dan penuh bersemangat.
"Apa yang penting ialah mesej untuk menjayakan gagasan 1Malaysia jelas kita sampaikan," katanya.
Katanya, beberapa skrin besar akan diletakkan di luar kawasan Parlimen bagi membolehkan orang ramai menyaksikan acara itu.
Menurutnya, orang ramai boleh menyaksikan acara itu di dalam kawasan Parlimen tetapi kehadiran mereka dihadkan kepada 1,600 orang saja dan kemasukan berdasarkan siapa dulu.
"Kami juga menjangkakan kira-kira 7,000 orang akan menyaksikan sambutan ini di luar kawasan Dataran Parlimen," katanya.
Rais berkata, memandangkan sambutan kemerdekaan itu pertama kali diadakan di Dataran Parlimen, bedah siasat untuk menilai keberkesanannya akan diadakan.
Selain itu, katanya, sambutan Bulan Kemerdekaan juga akan diteruskan ke Sabah dan Sarawak termasuk program 1Malaysia yang akan diadakan di Kuching pada 10 Oktober ini. - Berita Harian
Comments
Post a Comment