SEREMBAN 30 Ogos - Orang ramai di sini masih lagi memandang remeh tentang keselamatan diri mereka terhadap jangkitan wabak selesema babi atau influenza A (H1N1) yang sedang menular di negara ini.
Ini dapat dilihat ketika ramai daripada mereka masih lagi tidak memakai penutup mulut dan hidung untuk mengelakkan diri dijangkiti H1N1 apabila berkunjung ke tempat awam termasuk di bazar Ramadan.
Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, orang ramai sepatutnya lebih berwaspada dan mengambil langkah perlu bagi memastikan penularan wabak tersebut tidak berlaku di kawasan seperti itu.
"Apa yang dapat kita lihat masih ramai lagi yang ambil ringan dan tidak mengambil langkah pencegahan seperti mengunakan penutup mulut dan hidung semasa mengunjungi bazar Ramadan.
''Kita bimbang sekiranya ia masih dipandang remeh berkemungkinan wabak itu menular tanpa mereka sedari akan terus meningkat," katanya ketika di hubungi Utusan Malaysia di sini kelmarin.
Dalam pada itu, Zainal turut menegaskan betapa pentingnya peniaga bazar Ramadan mematuhi kebersihan terutamanya dalam penyediaan makanan untuk jualan.
Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya akan menjalankan pengawasan secara berterusan bagi memastikan makanan yang dijual kepada pelanggan bukan sahaja selamat tetapi terjamin mutu kebersihannya. - Utusan
Comments
Post a Comment