ALOR SETAR 31 Ogos - Seorang murid Tahun Enam, Sekolah Program Integrasi Khas Masalah Penglihatan Sekolah Kebangsaan Jabi, Pokok Sena merayu sumbangan orang ramai bagi membolehkannya menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di mukanya.
Mohamad Amiruddin Abdullah, 12, mengalami cacat penglihatan akibat ketumbuhan itu sejak kecil.
"Kali pertama saya menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar pada Jun tahun lepas. Pembedahan membuang ketumbuhan ini dibuat berperingkat-peringkat kerana masalah kewangan," katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Hotel Seri Malaysia di sini malam tadi.
Dia berkata, Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang sepatutnya didudukinya pada 8 September ini terpaksa ditunda pada tahun depan.
"Saya diberi cuti rehat lebih sebulan setengah kerana masalah penglihatan tidak stabil," kata anak sulung daripada empat beradik itu yang berasal dari Kampung Kenangan, Sik.
Mohamad Amiruddin berharap orang ramai dapat membantunya dengan memberi sumbangan kewangan bagi membolehkannya menjalani pembedahan kali kedua.
"Ibu bapa saya juga cacat penglihatan. Bagaimana mereka hendak membantu. Hanya ihsan orang yang saya tagih," katanya.
Guru kelasnya, Mohd. Arif Abdul Samad berkata, untuk pembedahan kali kedua, sumbangan orang ramai sangat diperlukan kerana kutipan dibuat pihak sekolah tidak mencukupi.
Katanya, jumlah yang diperlukan akan ditentukan pihak hospital.
Beliau berkata, orang ramai yang ingin membuat sumbangan boleh datang ke sekolah tersebut atau menelefon 04-7821340. - Utusan
Comments
Post a Comment